Seorang pembantu kedai kopi didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri pakaian dalam milik seorang murid perempuan yang disidai di ampaian, bulan lalu.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Yong Xin, 28, mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga orang kelainan upaya (OKU) intelektual dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Bagaimanapun, tertuduh telah menjelaskan denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki bujang itu didakwa mencuri pakaian dalam milik murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Taman Kota, Yong Peng, kira-kira jam 11.30 pagi pada 18 Mac lalu.
Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa berusia 54 tahun ternampak seorang lelaki tidak dikenali mengambil pakaian dalam anaknya yang disidai di luar rumah sebelum memasukkannya ke dalam beg.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis dan susulan siasatan, pihak berkuasa berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai runcit.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku mencuri barangan tersebut serta gagal memberikan alasan munasabah berhubung penemuan pakaian dalam berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed manakala tertuduh diwakili peguam Noormaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.


