SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan bagi membantu siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.
Daripada lima tangkapan itu, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM, telah disambung reman mulai hari ini sehingga 30 Januari depan.
Menurut sumber, selain pengarah syarikat terbabit, SPRM Negeri Sembilan telah menahan reman empat individu, termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan dalam operasi Op Nature sejak 20 Januari hingga hari ini bagi membantu siasatan.
“Sebanyak 16 akaun bank dibekukan melibatkan nilai kira-kira RM10.2 juta. Sejumlah RM87,000 wang tunai juga telah disita, dan barang kes berharga bernilai kira-kira RM220,000 juga telah disita termasuk kereta dan barang-barang kemas,” tambah sumber itu hari ini.
Penangkapan dan reman itu termasuk pengarah syarikat dan pegawai Jabatan Alam Sekitar yang disyaki melindungi kilang-kilang memproses e-waste secara haram dan juga pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses yang ditetapkan, katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009, dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lanjut selepas ini.


