
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan bangganya mengumumkan bahawa Pemimpin Tertinggi Republik Iran, Ayatollah Khomenei terbunuh dalam serangan yang dilakukan hasil pakatan jahat beliau dengan penjenayah antarabangsa yang juga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Setakat ini tiada pengesahan rasmi dari Iran tetap apa yang pasti Trump dan Netanyahu jangan bermimpi Iran akan menyerah kalah dalam membalas pencabulan ke atas negara Republik Islam tersebut kalaupun benar Khomeinei terbunuh.
Di Gaza, Trump berjaya memperdayakan dunia termasuklah pemimpin-pemimpin negara Islam untuk menyokong pelan damai dan gencatan senjata yang hakikatnya adalah helah bagi membolehkan Israel ‘menjajah’ Palestin secara terhormat.
Kini Trump bersekongkol pula dengan Netanyahu untuk menakluk dan menjajah Iran kononnya atas nama demi keamanan dunia. Israel yang merupakan sebuah negara pengecut berselindung di belakang AS untuk menghadapi Iran.

Israel tahu mereka tidak ada keupayaan untuk melawan Iran. Statistik kekuatan ketenteraan menunjukkan Iran mempunyai kelebihan berbanding Israel. Awal pagi inipun Tel Aviv sedang terbakar akibat serangan Iran.
Oleh itu perang akibat pencabulan Israel-AS ke atas kedaulatan Iran bakal menyaksikan satu peperangan yang akan beri kesan buruk bukan sahaja kepada Israel dan AS tetapi juga negara-negara Asia Barat yang bersekongkol dengan dua pemimpin berjiwa pengganas tersebut.
Sejak semalam hingga awal pagi ini satu demi satu kepentingan AS di Asia Barat menjadi sasaran balas Iran. Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UEA) antara negara yang kini tidak mungkin dapat tidur lena selagi perang itu belum tamat.
Sememangnya kesemua negara itu boleh berdendam kepada Iran dan mungkin juga menyerang balas negara republik Islam tersebut tetapi untuk meruntuhkan pemerintahan Iran belum tentu.
Sebaliknya, negara-negara berkenaan akan menghadapi lebih banyak lagi serangan balas daripada Iran yang setakat ini disifatkan oleh pakar-pakar peperangan benar-benar bersedia untuk berperang dengan dua musuhnya itu.
Pada masa yang sama, semangat pemimpin dan rakyat Iran begitu kental untuk berhadapan dengan pencerobohan Israel-AS. Mereka dengan lantang melaungkan rela mati daripada menyerah.
Trump mungkin boleh menggunakan rakyat Iran yang menjadi pengkhianat kepada tanah air sendiri dengan menganggap mereka sebagai patriot untuk memusnahkan Iran tetapi ia bukanlah mudah.
Di Palestin, Trump boleh berbuat apa sahaja bersama Netanyahu kerana mereka berhadapan dengan Hamas yang berjuang mempertahankan bumi Palestin tetapi di Iran, mereka akan bertempur dengan satu angkatan tentera yang AS dan Israel mungkin tidak tahu apa yang Iran ada.
Inilah amaran berkali-kali yang diberikan oleh pemimpin Iran kepada kedua-dua negara tersebut. Apakah mungkin kali ini mereka akan bertemu ‘buku dengan ruas’? Sama-samalah kita tunggu.
Seperkara lagi Trump tidak layak bercakap soal mahu membawa keamanan dan mahu membebaskan rakyat Iran – semua itu hanyalah omong kosong! Malah beliau juga tidak layak menuduh Khomenei individu kejam dan jahat.
Ia kerana Trump sendiri bersekongkol dan berpakat dengan Netanyahu untuk membunuh lebih 70,000 rakyat Palestin dan menghancurkan Gaza! Jadi siapa lebih jahat? siapa lebih kejam?


