
SPEAKER DUN Perlis, Ruse’sele Eizan mengumumkan beliau menarik balik pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi DUN yang berlaku kekosongan di luar jangka.
Pertimbangan semula itu dibuat selepas Pas selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan komited untuk meneruskan kelangsungan keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU-15.
Selain itu kata beliau, kenyataan media Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang memberi jaminan akan meneruskan agenda perpaduan PN yang masih memiliki majoriti besar iaitu 11 daripada 15 ADUN maka beliau mendapati majoriti ADUN Perlis adalah tidak terjejas dengan tiga kekosongan luar jangka, justeru tidak ada lagi keperluan untuk diadakan PRK.
Apa yang penulis terkejut itu ialah ‘’ketiga-tiga kerusi itu kekal kosong.’’ Tiga DUN yang kosong itu ialah DUN Chuping yang sebelum ini diwakili oleh Saad Seman; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong); Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Keputusan itu dibuat kerana Pas kekal menggugurkan keahlian ketiga-tiga ADUN tersebut berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan parti. Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang ADUN terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Penulis tidak kisah soal ketiga-tiga ADUN itu sebab mereka perlu menanggung akibat daripada tindakan mereka. Penulis juga tidak peduli kalau Pas mahu menjadikan tindakan tersebut sebagai pengajaran dan ingatan supaya ahli-ahli patuh kepada arahan parti dan kepimpinan tetapi bagaimana dengan nasib penduduk tiga DUN tersebut? Siapakah yang mahu membela nasib mereka?
Bagaimana kalau ada penduduk susah atau ada orang miskin yang memerlukan bantuan? Musim sekolah hendak bermula kalau ada yang perlu bantuan siapa nak tolong? Sebelum ini bolehlah mereka bergantung kepada wakil rakyat masing-masing kalau terdesak? Adakah Pas tidak fikir semua itu?
Penulis faham Pas marah, kecewa dan kesal disebabkan tindakan lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas berkenaan membuat SD menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, tetapi tak kanlah tidak ada pertimbangan untuk memberi hukuman yang tidak menjejaskan kedudukan tiga wakil rakyat itu?
Lagipun hanya tinggal dua tahun sahaja lagi, sepatutnya Pas beri amaran keras dan PRU-16 gugurkan mereka sebagai calon atau Pas buat ‘taktikal’ UMNO, menggantung keahlian Ahli Parlimennya tetapi kekal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti mana dialami Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sembrong.
Apa yang faedah Pas dapat apabila menggugurkan keahlian tiga ADUN itu, kalau ada PRK tak apa jugak…ini ketiga-tiga kerusi itu dibiarkan kosong yang akhirnya menanggung derita ialah rakyat kawasan berkenaan.
Kalau orang utara , mereka akan tanya ‘’hangpa nak buat apa ni Pas!….dah lah gugur keahlian tiga ADUN, PRK tak ada.. lepas tu semua ADUN Pas tak akan jadi exco…mungkin politik kat kampung pun tak sampai tahap macam ni.
Penulis berharap, Pas fikirlah semula pengguguran keahlian tiga ADUN berkenaan. Penulis tak kata mereka tak salah, mana-mana parti pun kalau ada ahli tak ikut arahan parti…boleh rosak parti, tetapi tak bolehlah peringkat kepimpinan dilihat begitu ego sehingga menutup segala pintu kemaafan.
Kalau setakat melibatkan jawatan parti tidak mengapa, ini melibatkan rakyat. Kasihan rakyat di tiga DUN tersebut. Mereka memberi undi kepada calon Pas di kawasan itu sehingga membolehkan Saad Seman-Cuping (menang majoriti 2,430 undi), DUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dapat undi majoriti 4,329 undi dan DUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim peroleh majoriti undi 5,101 undi. Setiap satu undi adalah amanah yang diberikan kepada Pas untuk menjaga kebajikan penduduk di ketiga-tiga kawasan berkenaan.
Kepimpinan Pas boleh memberi hujah dan menyakinkan ahli-ahlinya untuk menerima keputusan yang dibuat tetapi bagaimana dengan orang Melayu lain terutama atas pagar atau yang cerdik pandai.. mereka tertanya-tanya politik apakah yang Pas mahu tunjukkan. Pas mahu jadi parti besar, Pas mahu menerajui PN tetapi krisis di Perlis pun dah kelam kabut.
Oleh itu belum terlewat untuk Pas mengubah fikiran terhadap tindakan ke atas tiga ADUN itu demi kepentingan rakyat. Berilah mereka peluang untuk terus berkhidmat sekurang-kurangnya sehingga habis penggal. Tak rugi pun…rakyat sedang menilai.


