Pasukan petugas khas saran tata kelola pengurusan sisa plastik

PERSATUAN Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) berharap pihak kerajaan akan memperhalusi mengenai cadangan moratorium ke atas pengimportan sisa plastik.

Menurut mereka, ini kerana industri plastik dianggarkan memerlukan sejumlah 6.9 juta metrik tan (mt) sisa plastik setahun sebagai bahan mentah bagi 178 syarikat yang menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik di Malaysia.

Presiden MPMA, Cheah Chee Choon berkata, harga sisa plastik tempatan adalah lebih murah dan mudah didapati berbanding harga sisa plastik import yang jauh lebih mahal tetapi berkualiti tinggi.

“Buat masa ini, pihak industri dalam transisi mengguna pakai lebih banyak sisa plastik tempatan dan perkara ini dilaksanakan melalui sistem pengurusan sisa yang efektif seperti dasar Perluasan Tanggungjawab Pengeluar (Extended Producer Responsibility – EPR) yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). EPR ini telah dipraktikkan di China untuk mengurangkan kebergantungan industri kepada sisa plastik import,” katanya.

Chee Choon berkata demikian pada sesi dialog Sesi Libat Urus Bilangan 5 Tahun 2026 berhubung hala tuju pengurusan dan penguatkuasaan isu ‘Pengimportan Sisa Plastik dan e-Waste Dalam Negara’ yang diterajui oleh Bahagian Penyiasatan Tata Kelola (BPT) SPRM di Bangi semalam.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya menangani gejala pengimportan dan proses kitar semula haram sisa plastik oleh kilang haram serta menyenarai hitamkan negara yang mengeksport sisa ini secara haram.

Sementara itu, dalam sesi dialog berkenaan, BPT SPRM dan Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) SPRM menyarankan supaya tata kelola baik dalam pengurusan pengimportan sisa plastik ini diberikan penekanan.

Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan berkata, perkara ini amatlah penting dan wajar bagi meningkatkan kawalan kemasukan bahan mentah import sisa plastik tersebut, seterusnya membendung kemasukan sisa plastik tercemar dan bercampur.

DATUK Mohd Zaki Hassan

Menurut beliau, pelaksanaan pelan jangka masa panjang penting untuk mengurangkan kebergantungan pihak industri terhadap pengimportan sisa plastik dari luar negara serta menyarankan peningkatan inisiatif kitar semula sisa plastik tempatan atau domestik.

Mengulas mengenai keperluan import plastik, pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mendedahkan bahawa sumbangan utama nilai industri ini dipacu oleh sektor pembungkusan khusus kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang mencerminkan peranan penting industri plastik sebagai penyokong kepada sektor pembuatan bernilai tinggi.

Berdasarkan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hasil jualan Approved Permit (AP) ke atas 77 syarikat pemegang dianggarkan bernilai RM3.2 billion pada 2023.

Produk plastik daripada industri sisa plastik secara amnya dieksport secara langsung dalam bentuk produk akhir bernilai tambah, termasuk bahagian dan komponen bagi sektor E&E, peralatan perubatan, aeroangkasa, pembungkusan makanan dan lain-lain sektor berkaitan.

Situasi ini menunjukkan kebergantungan industri terhadap keperluan mendapat bekalan bahan mentah (sisa plastik) yang mampan dan mencukupi bagi menyokong pengeluaran produk berorientasikan eksport.

Sehingga 31 Disember 2025, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan sebanyak 178 syarikat menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik di Malaysia (142 syarikat dengan Lesen Pengilang, manakala 36 syarikat telah diluluskan Pengecualian daripada Lesen Pengilang (ICA10).

Sesi Libat Urus melibatkan penggiat industri dan ahli tetap Pasukan Petugas Khas ini telah dipengerusikan oleh Mohd Zaki dan turut dihadiri oleh pegawai KPKT, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Alam Sekitar (JAS), MITI, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img