
DALAM 24 jam lalu, tiga anggota Pasukan Pengaman atau Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Indonesia terbunuh akibat serangan Israel.
Mereka terkorban dalam dua kejadian berasingan di Selatan Lubnan.
Kejadian pertama akibat letupan dipercayai peluru berpandu Israel, manakala kejadian kedua berikutan tindakan Zionis menyerang konvoi membawa anggota tentera cedera.
Tindakan Israel itu sama sekali tidak boleh diterima. Namun seperti biasa PBB hanya sekadar menyatakan serangan itu pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.
PBB sama sekali tidak akan mampu menghalang keganasan,kebiadaban dan kebuasan Israel yang diketuai oleh penjenayah antarabangsa, Benjamin Netanyahu. Rejim Zionis sudah menjajah Palestin, menyerang Lubnan dan mencabul kedaulatanan Iran tetapi apa badan dunia itu buat?…Tiada apa-apa!
PBB ibarat ‘tunggul’ yang menjadi perhiasan dalam rumah. Mereka tidak ada apa-apa kemampuan untuk mengenakan hukuman ke atas Israel dan Netanyahu yang disokong oleh Amerika Syarikat.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ketika mengulas serangan Israel itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai sebahagian daripada siri kejadian yang membahayakan keselamatan pasukan pengaman, serta menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
Tetapi apa PBB boleh buat? Selama ini Israel-AS menceroboh kedaulatan Iran, apa tindakan PBB? Ketika rejim Zionis menjajah, membunuh dan memusnahkan Gaza, apa yang PBB lakukan?
Kini tentera pengaman PBB sendiri diserang oleh Israel, adakah PBB akan ada keberanian menyeret Netanyahu dan Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ)? Jangan mimpi itu akan berlaku!
Berdasarkan keadaan itu apakah masih wajar Malaysia terus turut serta dalam misi pengaman PBB di Lubnan? Jika Israel menyerang tentera Iran atau tentera Iran menyerang Israel itu tidak ada masalah kerana mereka sedang berperang, tetapi kalaulah tentera pengaman PBB diserang oleh Israel…ini sudah melampau.
Oleh itu Malaysia perlu mempertimbangkan kewajaran untuk terus meletakkan tentera kita di Lubnan. Apa yang berlaku kepada tentera Indonesia adalah bukti bahawa pengorbanan menyertai pasukan pengaman hanya sia-sia!
Ia memandangkan PBB tidak berupaya melindungi atau mempertahankan tenteranya sendiri. Terdapat lebih 8,200 anggota pengaman PBB daripada 47 negara, yang dikenali sebagai “Helmet Biru”, ditempatkan di selatan Lubnan berdasarkan data terkini UNIFIL setakat 23 Mac.
Sesungguhnya penulis sekelumitpun tidak mempertikaikan semangat mereka yang sanggup melekatkan lencana PBB di dada demi keamanan dunia termasuklah di Lubnan. Tetapi masalahnya PBB tidak ada keupayaan melawan Israel dan Amerika Syarikat.
Benjamin Netanyahu mempunyai waran tangkap daripada ICJ dan berpuluh-puluh buah negara memberi amaran akan menangkap pemimpin berjiwa pengganas itu tetapi sampai ke hari ini Perdana Menteri rejim Zionis terus bermaharajalela menyerang negara-negara Islam sesuka hati.
Oleh itu apa gunanya tentera pengaman PBB di Lubnan, kalau badan dunia itu tidak boleh bertindak ke atas Israel. Justeru Malaysia perlu mengkaji semula misi pengaman di Lubnan.
Ia memandangkan sudah terbukti Amerika Syarikat dan Israel lebih berkuasa daripada PBB. Kalaupun tentera Zionis berpuluh-puluh kali menyerang pasukan pengaman, belum tentu PBB akan bertindak.Percayalah.


