SEORANG pelajar tingkatan dua maut selepas tercampak ke dalam lubang pembetungan sedalam 10 meter apabila motosikal dinaiki bersama abangnya hilang kawalan di Jalan Bunga Tanjung, Tampin, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.10 malam tadi itu, mangsa menaiki sebuah motosikal bersama abangnya yang berusia 17 tahun, dan mereka dalam perjalanan ke rumah kawan di Kuala Ina, Tampin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, motosikal yang dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum ia terbabas dan mangsa tercampak ke dalam lubang sedalam 10 meter (m) itu.
“Kemalangan jalan raya di Jalan Bunga Tanjung membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y100 yang ditunggang seorang lelaki berumur 17 tahun bersama adiknya, seorang remaja lelaki berumur 14 tahun.
“Siasatan lanjut mendapati penunggang bersama pembonceng dalam perjalanan dari Pekan Tampin menghala ke Kuala Ina selepas selesai makan malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, apabila sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan terus melanggar pembetung yang dalam pembinaan di bahu sebelah kiri jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pembonceng tercampak jatuh ke dalam lubang pembetung itu. Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba,” katanya.
Amiruddien berkata, akibat kemalangan ini, penunggang motosikal mengalami cedera ringan, manakala pembonceng disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya ini diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sritharan di talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.


