PELANTIKAN Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-24 cukup signifikan ketika institusi pertahanan negara berhadapan cabaran besar untuk memperkukuh semula keyakinan rakyat serta memelihara kredibiliti organisasi.
Markas ATM di Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata, dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan.
“Peranan ini menjadi lebih kritikal apabila ATM kini berada dalam fasa penilaian dan pembaharuan institusi, khususnya dalam memperkukuh aspek tata keloka, akauntabiliti dan integriti kepimpinan.
“Pelantikan baharu ini membawa mandat penting untuk menetapkan hala tuju yang jelas berteraskan ketelusan dan disiplin serta pematuhan kepada nilai-nilai teras perkhidmatan ketenteraan,” katanya bersempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelantikan Panglima Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu, Malek Razak dinaikkan pangkat ke jawatan Jeneral susulan pelantikannya sebagai Panglima ATM ke-24 berkuat kuasa 1 Februari.
Beliau secara rasmi dianugerahkan pangkat empat bintang dengan istiadat disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.
Malek Razak sebelum ini adalah Panglima Medan Barat dilantik sebagai Panglima ATM ke-24 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Pelantikan Panglima Angkatan Tentera ke-24.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di peringkat pemerintah dan staf.
Hampir 40 tahun bersama ATM, beliau mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang wibawa.


