SEORANG lelaki berusia 28 tahun maut selepas kereta Perodua Ativa dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang monorel di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 4.49 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pudu menghala ke Jalan Dewan Bahasa.
“Pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar tiang monorel di lokasi kejadian.
“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





