SEORANG lelaki putus ibu jari tangan, luka di kepala dan kaki manakala ibunya cedera di kepala serta tangan dipercayai dicederakan pembantu rumah warga asing menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di sebuah rumah di Kotasas di Kuantan, Pahang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.43 pagi itu, suspek berusia 44 tahun dipercayai turut mencederakan diri sendiri dengan kesan kelar pada bahagian tangan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa, Wong Siew Kwan, 57, berada di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah terdengar jeritan anaknya, Lee Qi Zhen, 28, dari tingkat bawah.
Menurutnya, wanita itu segera turun sebelum ternampak anak lelakinya sedang bergelut dengan pembantu rumah mereka di ruang tamu.
“Wanita yang bekerja sebagai akauntan itu terus ke arah pembantu rumahnya itu untuk meleraikan pergaduhan tersebut namun suspek bertindak melibas pisau dan terkena kepalanya.
“Selepas mangsa berjaya merampas pisau yang digunakan, suspek bertindak lari ke dapur dan cuba mengambil pisau lain,” katanya, lapor Sinar Harian.
Ashari berkata, mangsa dan anaknya kemudian cuba menghalang suspek sehingga berlaku pergelutan di ruang dapur.
“Semasa pergelutan itu, mangsa wanita itu bertindak mengambil semua pisau yang ada di ruang dapur dan mencampakkannya ke luar melalui tingkap sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Beliau berkata, punca kejadian dipercayai disebabkan suspek mengalami tekanan bekerja dengan majikannya itu, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
“Difahamkan suspek pernah mengadu kepada ejen tentang tekanan bekerja di rumah majikannya itu yang lebih besar berbanding rumah dahulu selain suasananya yang panas dan tidak selesa.
“Suspek sudah bekerja selama 10 bulan dan hanya mangsa dan suspek tinggal di rumah tersebut, bagaimanapun semasa kejadian mereka bertiga berada di rumah itu,” katanya.
Jelas beliau lagi, pasukan siasatan bersama pihak forensik ke tempat kejadian dan merampas barang kes iaitu tujuh bilah pisau pelbagai jenis.
“Mangsa dan suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di mahkamah esok,” katanya.


