SEORANG lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Bukit Tangga, Changlun, Kedah hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Nor Aini Ramli, 70, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Salmah Hassan, 70, cedera di bahagian dagu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 10 pagi.
Beliau berkata, pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Bukit Tangga ke Pekan Changlun.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik menyebabkan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Harian Metro.
Video kemalangan itu turut ditular dalam media sosial apabila beberapa orang awam cuba membantu memecahkan cermin hadapan kenderaan itu untuk membantu mangsa.
Mohd Radzi berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


