Pembebasan 23 aktivis frotilla hasil strategi Anwar, kebijaksanaan diplomasi Malaysia

 

‘’ Semoga semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT, Alhamdulillah!,’’.

Itulah kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memaklumkan bahawa 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Istanbul dari Israel,semalam sebelum pulang ke tanah air esok.

Penulis percaya sesibuk manapun Perdana Menteri sejak malam Rabu lalu, di fikiran beliau pasti ‘berkeceramuk’ memikirkan nasib 23 aktivis berkenaan yang berada di sebuah negara…seperti mana kata beliau, ‘’memiliki pemimpin yang kejam dan falsafah yang tidak bertamadun.’’

Anwar tahu usaha membebaskan anak-anak Malaysia itu tidak boleh dilengahkan, sehebat manapun cabaran, sesulit manapun rintangan sebagai Perdana Menteri, Anwar mesti pastikan mereka kembali menjejak kaki ke tanah air dengan selamat.

Namun berunding dengan Israel bukanlah mudah. Ini bukanlah mahu menyelamatkan rakyat kita yang terperangkap dalam bencana atau krisis di luar negara tetapi mahu membebaskan rakyat kita yang berada dalam tahanan sebuah negara yang  memetik kata bekas Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Putera Turki Al-Faisal ‘negara pariah’ yang tidak tahu menghormati undang-undang antarabangsa.

Justeru Anwar perlu menggunakan strategi betul dan pendekatan diplomasi yang bijak, memandangkan kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel serta  merupakan antara negara Islam paling lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin dulu, kini dan selamanya.

Sehubungan itu dalam wawancara ringkas yang disiarkan dalam Facebook beliau dua hari lalu, Anwar menjelaskan, bagaimana sebaik sahaja  mendapat maklumat mengenai penahanan rakyat Malaysia itu beliau menghubungi rakan sejawatnya Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan pemimpin utama Turki, Recep Tayyip Erdogan.  Perdana Menteri juga turut menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah Al- Sisi.

Segala usaha diplomatik dilaksanakan dan segala strategi diatur bagi memastikan kesemua 23 aktivis GSF dibebaskan segera. Lagi lama mereka berada dalam tahanan Israel, lagi banyak risiko yang menanti. Atas sebab itulah Anwar turut berhubung dengan Setiausaha Luar Amerika Syarikat, Marco Rubio.

 Dalam melaksanakan misi itu, Anwar mengenepikan segala pandangan, tafsiran mahupun persepsi mana-mana pihak terhadap pemimpin-pemimpin beliau hubungi. Anwar tahu ramai yang hairan dengan sikap Qatar yang begitu mudah memaafkan Israel yang menyerang negara itu.

Anwar faham ramai tidak selesa apabila kita meminta pertolongan dari Amerika Syarikat kerana negara itu sekutu rapat Israel dan Anwar mengerti ramai geram dengan sikap Mesir yang tidak mahu membuka pintu sempadan Rafah bagi membolehkan bantuan dibawa masuk ke Gaza, tetapi misi yang mahu dilaksanakan oleh Malaysia bukan soal sentimen tetapi soal 23 nyawa rakyat Malaysia yang berada dalam genggaman rejim Zionis.

Soal tidak puas hati dengan sikap atau soal tidak suka dengan tindakan negara-negara berkenaan harus diketepikan. Yang penting, negara-negara tersebut boleh memainkan peranan penting untuk ‘memberi tekanan’ atau ‘mengarahkan’ Israel membebaskan rakyat kita.

Ternyata strategi Anwar dan diplomasi Malaysia berhasil. Seperti mana kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kejayaan membawa pulang 23 rakyat Malaysia itu membuktikan kekuatan diplomasi kerajaan yang berpaksikan prinsip kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat.

“Kejayaan ini merupakan hasil rangkaian rundingan diplomatik yang panjang dan berlapis-lapis, melibatkan pelbagai negara termasuk Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat (AS).

“Usaha diplomatik kerajaan juga memberi tumpuan kepada keselamatan bukan sahaja rakyat Malaysia dan Turkiye, tetapi turut melibatkan wakil dari Eropah, Indonesia serta negara lain yang menyertai misi berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Saifuddin Nasution berkata penglibatan beliau dalam perbincangan dengan utusan khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff sebagai menyokong usaha diplomatik Anwar dan memperkukuh saluran komunikasi dengan pihak antarabangsa.

Kepulangan kesemua wira dan wirawati negara itu bukanlah bermaksud misi Malaysia membantu rakyat Palestin sudah berakhir. Sebaliknya biarpun mereka dipintas oleh rejim Zionis dalam usaha menghantar pelbagai barang termasuk makanan ke Gaza, ditangkap, disumbat dalam tahanan dan kemudian dihantar pulang, semua itu hanyalah permulaan.

Perjuangan Malaysia belum berakhir dan tidak mungkin berakhir selagi Palestin tidak merdeka. Ia dibuktikan dengan kenyataan Anwar berhubung pelan damai 20 perkara yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Anwar  menegaskan bahawa sokongan bersyarat Malaysia terhadap pelan damai terkini di Gaza mengambil kira keperluan jaminan kebebasan dan kemerdekaan penuh rakyat Palestin.

“Mengenai perjanjian itu, saya telah menyatakan dukungan terbatas kerana kita masih mahu melihat jaminan kebebasan dan kemerdekaan Palestin,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, aspek terpenting pada masa ini ialah kebijaksanaan dan sikap kesabaran tinggi, terutamanya untuk menghentikan serangan dalam kadar segera, menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Anwar mahu memastikan penderitaan yang sedang ditanggung oleh rakyat Palestin dihentikan segera, justeru strategi beliau ialah menyokong pelan damai secara bersyarat. Apa yang penting apabila  peringkat pertama pelan damai itu berjalan ia membolehkan serangan Israel dihentikan dan bantuan kepada rakyat Palestin dapat disalurkan.

“Keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata. Walhasil, ia mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah. Kita tidak akan mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza. Tragedi sadis ini yang menghentak nurani dunia ini mesti segera dihentikan,” kata beliau.

Begitulah juga strategi yang beliau gunakan bagi membebaskan 23 aktivis GSF Malaysia itu. Anwar melakukannya secara berhati-hati, langkah demi langkah tetapi berkesan kerana pembebasan mereka tidak boleh ditangguh lagi. Lagi lama mereka dalam tahanan Israel, lagi banyak derita akan ditanggung.

Oleh itu apapun perbezaan antara kita, kejayaan membawa pulang wira dan wirawati negara itu harus diiktiraf kerana ia membuktikan keberkesanan strategi Anwar dan kebijaksanaan diplomasi negara dengan diiringi doa seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Tahniah Datuk Seri, Syabas pak-pak menteri, selamat pulang wira wirawati negara, terimakasih rakyat Malaysia!

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img