MENTERI Tenaga dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia, Bahlil Lahadalia, menegaskan pemerintah Indonesia belum menaikkan harga bahan bakar minyak (BBM) meskipun terdapat tekanan geopolitik global yang menimbulkan kebimbangan terhadap kenaikan harga tenaga di pelbagai negara.
Bahlil berkata, kestabilan harga tenaga kekal menjadi keutamaan kerajaan negara itu bagi memastikan daya beli rakyat terpelihara dan aktiviti ekonomi berjalan lancar.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh mudik (pulang kampung) dan arus balik Aidilfitri, tidak berlaku orang ramai beratur panjang di stesen minyak (SPBU). Kenderaan elektrik dapat dilayani dengan baik, pengedaran LPG berjalan lancar, dan bekalan solar juga mencukupi,” kata Bahlil.
Beliau menegaskan bahawa setakat ini harga BBM masih stabil walaupun dinamika global berpotensi menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia.
Menurut Bahlil, Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan kerajaan terus mencari penyelesaian supaya polisi subsidi tenaga tetap melindungi rakyat di tengah ketidakpastian global.
“Hingga semalam, arahan Bapak Presiden adalah untuk mencari solusi terbaik agar tindakan dalam soal subsidi tidak membebankan rakyat, meskipun dalam kondisi krisis global. Saya bersama Menteri Kewangan terus berusaha mencari langkah terbaik agar masyarakat tetap terlindungi,” ujarnya.
Selain mengekalkan kestabilan harga, kerajaan turut menggesa masyarakat tidak melakukan pembelian berlebihan atau pembelian panik yang boleh mengganggu pengedaran tenaga.
Bahlil menegaskan, stesen minyak diperuntukkan bagi keperluan rakyat dan bukan untuk aktiviti penimbunan atau tujuan lain yang tidak sah.
“Jika dalam satu hari keperluan BBM cukup 30 hingga 40 liter, gunakan secukupnya. Tidak perlu melakukan ‘panic buying’,” katanya.
Selain itu, Bahlil menggesa rakyat menggunakan tenaga secara berhemah bagi mengekalkan ketahanan tenaga negara dalam jangka panjang.
‘’Kerajaan optimis bahawa dengan kerjasama antara pihak kerajaan dan masyarakat, kestabilan tenaga nasional akan terus terpelihara walaupun situasi global masih tidak menentu,’’ katanya.


