
PENULIS tersenyum apabila melihat reaksi segelintir pemimpin UMNO terhadap pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Macam-macam andaian dan kebimbangan mereka bangkitkan.
Sepatutnya mereka tidak perlu mewujudkan apa-apa andaian atau prasangka kerana Ahli Parlimen Segambut belum pun masuk pejabat. berilah peluang kepada Hannah yang mencipta sejarah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan paling muda berusia 46 tahun, bukan Melayu pertama memegang jawatan itu dan merupakan pemimpin ketiga daripada Pakatan Harapan (PH) serta pertama daripada DAP. Sebelum ini pemimpin PH yang berada di kedudukan itu ialah Khalid Samad (Amanah) dan Zaliha Mustafa (PKR).
Hannah merupakan Menteri Wilayah Persekutuan ke-16. Sebelum ini jawatan itu disandang oleh Barisan Nasional (BN) sebanyak 13 kali. Oleh itu sebagai salah satu parti dalam kerajaan sepatutnya tidak wujud apa-apa perasaan tidak puas hati apatah lagi prasangka terhadap pelantikan Hannah dalam kalangan pemimpin UMNO.
Pemimpin UMNO tidak kira di peringkat apapun perlu ‘menghadam’ kenyataan Presiden parti itu yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas rombakan Kabinet semalam.
Beliau berkata, kesinambungan dasar serta semangat kebersamaan dalam Kabinet menjadi kunci utama bagi memastikan matlamat membina negara yang lebih makmur, stabil dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia dapat direalisasikan.
Begitu juga dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menyifatkan pengumuman Kabinet baharu, sebagai pasukan kukuh untuk melaksanakan agenda perubahan yang telah dirangka secara menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata gabungan yang melibatkan senior dan junior, veteran serta anak muda itu membolehkan Kabinet baharu itu bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.
Sebagai dua pemimpin yang berada dalam Kabinet, sudah pasti Ahmad Zahid dan Zambry memahami rasional di sebalik pelantikan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Lagipun kuota portfolio itu bukan milik UMNO lagi, ia sudah jadi milik PH. Datuk Seri Shahidan Kassim adalah Menteri Wilayah Persekutuan terakhir daripada UMNO.
Berikutan keadaan itu terpulang kepada hak mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH membuat keputusan. Tambahan pula UMNO, PKR dan Amanah ‘sudah merasa’, apa salahnya diberikan kepada DAP pula. Mungkin Hannah boleh menjadi Menteri Wilayah Persekutuan lebih baik daripada yang sebelum-sebelum ini…siapa tahu?
Oleh itu adalah lebih baik jangan ada apa-apa prasangka kepada Hannah, berilah peluang masuk pejabat dulu. Dan tunggulah apakah agenda yang akan beliau bentangkan. Selepas itu barulah, pemimpin UMNO menilai ke mana arah tuju Hannah.
Lagipun UMNO sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan MADANI. Kepimpinan UMNO tentulah telah memikirkan semua situasi termasuklah soal pelantikan dalam Kabinet ketika membuat kepuutusan untuk menyertai kerajaan demi kestabilan politik negara.
Justeru kepada segelintir pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Hannah, penulis nasihat tenang-tenang sahaja. Hormati keputusan Perdana Menteri, patuh kepada pendirian kepimpinan parti, pasti jiwa terasa damai.


