SEORANG pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan sebatang kayu dalam kejadian pergaduhan di Bemban, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Alif Syazwan Mohd Asri, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Ahmad Ramzi Samrat, 29, menggunakan sebatang kayu yang merupakan senjata yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 23 Jun lalu di tepi jalan berhampiran hentian bas di Jalan Gapam, Bemban, dalam daerah Jasin.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon satu tarikh baharu bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa selain mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam Shahrul Amali Shafie yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mencadangkan jumlah jaminan sekitar RM6,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan.






