SEORANG penarik kereta dijatuhi hukuman penjara keseluruhan tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah di dua kediaman dipercayai berkaitan kegiatan ugutan along.
Tertuduh, Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Hakim Azureen Sahira Sauffee Afandi bagi satu pertuduhan, manakala empat bulan lagi oleh Majistret Nabilah Nizam untuk satu lagi kes berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengakibatkan kebinasaan harta milik seorang lelaki berusia 52 tahun dengan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin, pada jam 4.10 petang, 7 April lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kediaman milik lelaki berusia 37 tahun di Twin Danga Residensi, Jalan Tengah, Kampung Sungai Danga, kira-kira jam 7 pagi, 24 Disember tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman tiga bulan penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan, manakala hukuman empat bulan lagi bermula dari tarikh tangkapan pada 16 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman, sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Vijayan dan Zulyatie Awang.
Mengikut fakta kes, mangsa pertama menemui kesan simbah cat merah pada dinding dan lantai rumah sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh datang menaiki kereta sambil membawa botol berisi cat merah.
Siasatan lanjut mendapati kenderaan digunakan ialah kereta sewa dan polis turut menemukan beberapa botol cat merah selain rakaman video dalam telefon bimbit tertuduh yang memaparkan aksi menyimbah cat di rumah mangsa.
Bagi kes kedua pula, CCTV kondominium turut merakam tertuduh datang menaiki kereta mewah sebelum bertindak menyimbah cat merah pada unit kediaman mangsa.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, polis menahan enam individu termasuk dua wanita yang dipercayai menjadi ‘budak suruhan’ sindiket along dan terbabit dalam ugutan jenayah termasuk simbah cat serta serangan molotov cocktail di beberapa negeri.


