SEORANG pencipta kandungan media sosial dari Kota Bharu yang terkenal dengan video memasak ‘cak pua’ mendakwa kerugian RM3,450 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej memancing di Sungai Sepia, Taman Negara, Pahang.
Mangsa yang dikenali sebagai AS_Kitchen di Facebook tampil membuat laporan polis selepas mendakwa wang yang dibayar bagi menyertai trip memancing itu gagal dipulangkan walaupun aktiviti tersebut tidak dapat diteruskan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Arshad Ayob berkata, mangsa bersama beberapa rakannya menempah pakej memancing dengan seorang tekong dikenali sebagai Along Kama atau Mohd. Hairul Kamaruddin pada 31 Mei lalu.
Beliau berkata, kumpulan berkenaan terlebih dahulu membuat bayaran deposit sebanyak RM300 sebelum diminta membuat beberapa bayaran tambahan yang didakwa bagi tujuan pembaikan bot serta permit operasi.
“Beberapa transaksi dibuat secara berperingkat antara Jun hingga Julai lalu melalui pembayaran kod QR kepada beberapa individu selain bayaran tunai kepada tekong berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM3,450.
“Bagaimanapun, pada hari trip dijadualkan berlangsung, aktiviti memancing gagal diteruskan selepas tekong terbabit dikatakan ditahan pihak berkuasa kerana tidak dibenarkan beroperasi di kawasan Taman Negara,” katanya, lapor Buletin TV3.
Menurut beliau, suspek kemudian berjanji memulangkan wang tersebut pada penghujung Julai lalu, namun sehingga kini mangsa mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran balik.
Arshad berkata, siasatan mendapati semua pembayaran dibuat melalui pindahan QR ke akaun atas nama Norhisam Hashim dan Siti Faizah Ali selain bayaran tunai yang diserahkan kepada tekong dikenali sebagai Along Kama.
Katanya, semakan turut mengesahkan Along Kama merupakan individu yang wujud dan pernah mengendalikan trip memancing di Taman Negara pada 2022 berdasarkan pengesahan daripada rakan mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan mangsa dinasihatkan mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar,” katanya.






