PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa suspek penembakan aktivis konservatif Charlie Kirk telah ditangkap selepas pemburuan besar-besaran melibatkan ratusan anggota keselamatan.
“Seseorang yang sangat rapat dengannya menyerahkan dia,” kata Trump dalam wawancara langsung dengan Fox News hari ini.
Menurut Trump, orang yang menyerahkannya ialah pegawai penguatkuasa undang-undang dan paderi.
“Dia membawanya kepada Marshal AS. Mereka pergi ke ibu pejabat polis, dan dia berada di sana sekarang,” katanya
Charlie Kirk mati ditembak pada hari Rabu ketika menghadiri satu acara di Universiti Utah Valley. Polis percaya penembak itu melepaskan tembakan dari jarak 180 meter menggunakan senapang bolt-action berkuasa tinggi yang kemudian ditemui di kawasan hutan berhampiran kampus.
Rakaman video menunjukkan suspek berlari atas bumbung, kemudian melompat dan melarikan diri ke dalam hutan. Ratusan ejen daripada 20 agensi penguatkuasaan dikerahkan untuk memburu suspek sebelum akhirnya berjaya diberkas.
Gabenor Utah Spencer Cox mengesahkan bahawa negeri itu akan menuntut hukuman mati ke atas suspek.
“Negeri telah menyediakan dokumen untuk mendapatkan hukuman mati,” kata Cox.
Kes itu dikatakan mempunyai kesan politik yang kuat. Naib Presiden J.D. Vance secara peribadi mengiringi keranda Kirk ke kampung halamannya di Phoenix, Arizona, menggunakan Air Force One.