Banjir buruk di Indonesia ragut 23 nyawa, lima hilang

BANJIR buruk yang melanda beberapa wilayah di Indonesia meragut 23 nyawa dan menyebabkan lima lagi hilang, ketika pasukan kecemasan meneruskan operasi menyelamat dan pemulihan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata pulau percutian Bali merupakan kawasan paling terjejas dengan 18 kematian, dua hilang, 659 orang terkesan dan 185 dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

“Bali terjejas teruk dengan banjir melumpuhkan sebahagian kawasan pulau itu termasuk bandar Denpasar dan enam wilayah selepas hujan lebat sejak Selasa,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Namun, tanda-tanda pemulihan mula kelihatan apabila air banjir surut di beberapa kawasan Denpasar dan sekitarnya, membolehkan jalan utama dibuka semula secara berperingkat menjelang Khamis.

Kerajaan wilayah Bali mengumumkan operasi kecemasan akan menumpukan kepada pembaikan jambatan dan jalan sehingga 17 Sept, tambah Abdul Muhari.

Di daerah Nagekeo, Nusa Tenggara Timur, banjir besar pada Isnin meragut lima nyawa, tiga hilang dan tiga cedera, manakala kira-kira 30 penduduk dipindahkan ke rumah saudara-mara.

“Banjir melanda kawasan Mauponggo, merosakkan rumah, jambatan, jalan dan pejabat,” katanya.

Sementara itu, banjir di Mahakam Ulu, Kalimantan Timur pada Khamis berlaku susulan hujan lebat di hulu yang menyebabkan Sungai Mahakam melimpah.

Tiada kematian dilaporkan tetapi 22 isi rumah di tiga subdaerah mengalami kerosakan harta benda, dengan beberapa keluarga dipindahkan sementara, jelas Abdul Muhari.

Di Lampung, banjir dan tanah runtuh di Kampung Banding Agung, Lampung Barat pada Rabu memutuskan akses jalan, namun tiada korban jiwa dilaporkan, tambahnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img