Penentuan siapa Pengerusi PN bagaikan penuh ‘taktikal’, ‘teknikal’….

SEGALANYA pada mulanya nampak mudah, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Surat rasmi dihantar kepada Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Pas menghormati keputusan Muhyiddin dan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pagoh tersebut atas segala khidmat bakti beliau ketika menerajui PN. Ia sekaligus akan membolehkan nama bekas Perdana Menteri terpahat dalam sejarah sebagai Pengerusi PN yang pertama.

Berikutan itu sebagai tanda penghormatan Pas menghantar Naib Presidennya, Datuk Seri Samsuri Mokhtar membawa ‘mandat Hadi’ yang antara lain dikatakan memberi isyarat Pas bahawa Menteri Besar Terengganu itu akan menjadi calon Pas bagi menjadi Pengerusi PN….nampak mudah dari segi teknikal…pengerusi letak jawatan, calon baru sudah ada…mesyuarat akan tetapkan.

Tetapi timbullah ‘Ops U-Turn’ melalui  taktikal yang diadunkan bersama  teknikal bagi memastikan Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN. Taktikal yang digunakan ialah memberi alasan teknikal bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN mesti menerima dan mengesahkan dahulu peletakan jawatan Muhyiddin kerana  prosedur ini termaktub dalam Perlembagaan parti.

Taktikalnya ialah anggota-anggota MT akan ‘mengundi’ sama ada akan menerima atau tidak peletakan jawatan, kalau tidak terima Muhyiddin akan kekal. Tetapi kalau boleh agenda mesyuarat mesti bermula dengan senarai calon pengganti kerana ‘taktikalnya’ untuk mengetahui adakah calon itu bertaraf Presiden.

Kalau setakat Naib Presiden, anggota MT PN akan beri alasan teknikal yang tidak wujud dalam Perlembagaan PN iaitu  ‘aneh sikit  kalau Naib Presiden jadi Pengerusi PN’ nak beri arahan kepada Presiden-presiden parti. Sedangkan Perlembagaan PN tak pun menetapkan hanya Presiden parti sahaja  boleh jadi pengerusi.

Namun apa boleh buat ketika secara teknikal yang diuar-uarkan bahawa ‘semua pihak perlu menghormati pendirian Muhyiddin meletakkan jawatan’, namun taktikal berjalan terus untuk memastikan beliau kekal, apatah lagi dengan pendirian Hadi yang menyatakan beliau tidak berhasrat menjadi Pengerusi PN.

Tetapi oleh kerana Pas sudah menyatakan akan menerajui PN maka kalaulah Samsuri ‘dari segi teknikalnya’ dianggap tidak sesuai maka Pas bolehlah mencalonkan Abdul Hadi sebagai Pengerusi PN. Lagipun kalau Ahli Parlimen Marang itu memegang jawatan itu, ‘secara taktikalnya’ PN tidak dilihat berimej Taliban (tuduhan terhadap Pas) memandangkan Bersatu kan ada.

Sebelum ini ramai yang kata Bersatu menjadi pengimbang imej PN supaya tidak nampak ekstrem memandangkan Pas ada di dalamnya.Jadi kalau susah-susah sangat biarlah Abdul Hadi menjadi Pengerusi .

Mungkinlah atas faktor-faktor kesihatan beliau tidak boleh selalu datang mesyuarat MT PN tetapi sebelum ini pun berapa kali sangat pun MT PN bermesyuarat. Kalau beliau tidak hadir Timbalan-Timbalan Pengerusi boleh ambil alih, bukankah secara ‘teknikal’ yang duarkan-uarkan keputusan mesyuarat perlu dibuat secara konsensus…sepertimana yang ditekankan untuk isu peletakan jawatan Muhyiddin?

Namun apa keadaan, sesuatu yang tidak boleh disangkalkan tidak kira siapakah yang menjadi Pengerusi PN….belum tentu PN aman. Ia kerana apabila perkara mudah dipersulitkan sehingga tercetus perbalahan antara pemimpin kedua-dua parti ia ibarat ‘lava gunung berapi yang sedang terkumpul’…tiba masanya ia akan termuntah jugak. Kalau tak percaya tunggu saja…

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img