SEORANG pemimpin Pas berpendapat keutamaan memilih Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan semestinya dalam kalangan Presiden parti komponen, sebaliknya boleh diterima rakyat dan bebas bebanan.
Bendahari Pas Datuk Iskandar Samad berkata pemimpin bakal menggantikan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu diterima parti komponen.
Katanya, jawatan Pengerusi PN akan memberi gambaran kepada rakyat berhubung calon Perdana Menteri pada PRU-16 walaupun tidak diumumkan.
“Kita perlu pemimpin segar, terbukti berkemampuan sama ada di persekutuan atau negeri dan bersih iaitu bebas dari sebarang bebanan. Perlu seorang pemimpin boleh diterima rakyat kerana pengerusi PN baharu akan memimpin gabungan itu pada PRU semakin hampir,” katanya lapor FMT.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang Bersatu berpendirian jawatan Pengerusi PN yang kosong sejak 1 Jan lalu perlu dipilih dalam kalangan presiden parti komponen.
Selain Muhyiddin, Presiden lain ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Pas, Datuk Dr Dominic Lau dari Gerakan dan P Punithan dari MIPP.
Bekas Perdana Menteri itu berkata Abdul Hadi menolak mengambil alih kepimpinan PN atas faktor kesihatan dan beliau mengakui timbul dilema daripada pendirian Bersatu.
Awal bulan ini, Abdul Hadi mengesahkan Pas menawarkan diri mengetuai PN selepas Muhyiddin meletak jawatan.
Selain Abdul Hadi, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar antara pemimpin dari parti itu dikaitkan dengan jawatan Pengerusi PN.


