PERKEMBANGAN di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan penolakan terhadap politik perkauman dan penindasan agama wajar dijadikan pengajaran dalam membina masyarakat yang menghormati kepelbagaian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pemilihan Abdul El-Sayed sebagai anggota senat AS pertama beragama Islam adalah perkembangan penting yang menyaksikan keterbukaan politik terhadap kepelbagaian kaum dan agama.
Anwar berkata situasi itu memberi gambaran bahawa politik tidak seharusnya berasaskan sentimen perkauman sebaliknya memberi ruang kepada semua golongan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.
“Mereka faham demokrasi, benci dengan fahaman perkauman… yang kalahkan (Parti Republikan pimpinan) Presiden Donald Trump ini adalah kelompok yang benci dengan fahaman perkauman… mereka ini bawa kempen benci kepada perkauman, benci kepada penindasan agama dan bawa mesej baharu.
“… Sebab kalau fahaman perkauman itu bangkit, yang rugi umat Islam, umat minoriti,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi MADANI Negeri Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Bukit Rambai hari ini.
Pilihan raya pertengahan penggal AS itu menyaksikan El-Sayed, yang juga calon Parti Demokrat, memenangi kerusi Senat Michigan sekali gus melakar sejarah sebagai Muslim pertama dipilih ke Dewan Senat negara berkenaan.
Anwar berkata kemenangan El-Sayed juga perlu dijadikan pedoman bagaimana penolakan terhadap fahaman perkauman boleh menjadi mesej perubahan landskap politik di sesebuah negara yang dibawakan oleh seseorang wakil rakyat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata Malaysia tidak perlu meniru model politik AS kerana negara ini memiliki identiti tersendiri sebagai sebuah negara berbilang kaum dan makmur.





