Penunggang motosikal maut digilis treler di Lebuhraya SUKE

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal sebelum digilis lori treler di Kilometer 1.2 Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE) dari arah Desa Tun Razak menghala ke Sri Petaling, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha MT-15 dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 yang ditunggang lelaki berusia 31 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua motosikal datang dari arah yang sama. Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha MT-15 yang melalui satu selekoh dipercayai telah melanggar bahagian belakang motosikal Honda Dash 125 yang berada di lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang Yamaha MT-15 hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong tengah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebuah lori treler yang dipandu lelaki berusia 41 tahun yang datang dari arah sama gagal mengelak dan membrek sebelum melanggar mangsa.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Penunggang motosikal kedua serta pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img