Perbualan ringkas di kedai makan kenangan terakhir Mohd Fauzi bersama menantu

PERBUALAN ringkas selepas  makan di sebuah kedai makan, semalam menjadi kenangan terakhir yang terpahat dalam ingatan Muhd Fauzi Ibrahim, 60, sebelum menantunya terkorban dalam nahas di KM25 Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, pada hari sama.

Dalam kejadian itu, Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 26, serta dua anak saudaranya, Muhammad Adam Rifqi Mohd Fairuz, 12, dan Nur Aadimiyya Rifqina, 6, maut ketika dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Bagan Datuk untuk tujuan percutian keluarga sebelum menyambut ketibaan Ramadan.

Warga emas itu berkata dia berbual ringkas dengan Muhammad Nashrul di kedai makan itu di Teluk Intan dan sempat bertanyakan mengenai nasi dimakan arwah.

“Saya tanya dia, sedap tak nasi (yang dimakan). Arwah beritahu sedap dan dia habiskan semuanya. Saya pula tidak berapa lalu nak makan… itu kali terakhir saya dengan dia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali memaklumkan kemalangan kira-kira 2.30 petang semalam itu membabitkan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kereta jenis Kia Cerato dinaiki mangsa bersama lima penumpang lain.

Muhd Fauzi berkata dia hanya mengetahui tentang kemalangan itu melalui panggilan telefon daripada orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Kami sebenarnya telah sampai ke rumah inap di Bagan Datuk manakala arwah masih dalam perjalanan ke tempat kami dan tiba-tiba saya dapat panggilan memaklumkan tentang kejadian itu.

“Kami bergegas ke lokasi dan dimaklumkan anak saudara saya (Muhammad Adam Rifqi) meninggal di tempat kejadian, manakala dua lagi (maut) sedang mendapat rawatan pada ketika itu,” katanya.

Jenazah Muhammad Nashrul, katanya akan dikebumikan di kampung halamannya di Bagan Datuk manakala dua lagi kanak-kanak di Klang, Selangor.

Sementara itu, seorang daripada waris keluarga, Nur Ain Ahmad Zamri, 28, meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitan kemalangan itu tampil membantu siasatan.

“Saya mohon mana-mana individu yang berada di tempat kejadian untuk kongsikan sebarang maklumat atau jika ada rakaman video kamera papan pemuka, salurkan segera kepada pihak polis,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img