Perdaya penduduk Palestin keluar Gaza : Penjelasan,latarbelakang organisasi Israel, Al-Majd Europe meragukan

MISTERI berhubung pesawat yang membawa lebih 150 warga Palestin ke Afrika Selatan terus mencetuskan persoalan baharu selepas syarikat yang dikaitkan dengan perjalanan itu tampil memberi penjelasan, namun menimbulkan lebih banyak keraguan.

Organisasi yang dikaitkan dengan Israel, Al-Majd Europe, yang didakwa beberapa penumpang sebagai pengatur perjalanan, menjadi perhatian selepas wujud beberapa percanggahan dalam profil awamnya.

 Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam semalam, syarikat itu tidak mengesahkan peranannya menguruskan penerbangan berkenaan, sebaliknya hanya menyatakan interaksi mereka dengan pihak Israel hanyalah bagi menyelaras pelepasan pesawat dari Gaza.

Menteri Kehakiman dan Luar Negeri Afrika Selatan, Ronald Lamola, sebelum ini menyifatkan penerbangan itu sebagai sebahagian “agenda jelas” untuk mengosongkan Gaza dan Tebing Barat daripada penduduk Palestin—kenyataan yang dilihat sebagai sindiran terhadap Israel di tengah gencatan senjata yang rapuh.

Afrika Selatan, yang lantang mengkritik tindakan Israel, sebelum ini membawa kes dakwaan genosid terhadap Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Lamola berkata kerajaan curiga dengan situasi kedatangan pesawat berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan.

COGAT, agensi penyelaras Israel untuk urusan Palestin, memaklumkan warga Palestin yang keluar dari Gaza menerima permit negara ketiga, namun negara itu tidak didedahkan.

 Seorang jurucakap kerajaan Israel pula berkata Benjamin Netanyahu memberi jaminan bahawa penduduk Gaza bebas keluar dan kembali bila-bila masa.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan mengenai  pembersihan etnik, khususnya selepas laporan bahawa tentera Israel pada Februari diberikan arahan menyediakan pilihan bagi membolehkan warga Palestin meninggalkan Gaza secara “sukarela”.

Pesawat carter itu yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo semalam, mengejutkan pihak berkuasa Afrika Selatan apabila penumpang tidak mempunyai dokumen sah.

  Presiden Cyril Ramaphosa berkata negara itu menerima mereka atas dasar kemanusiaan, namun mengakui situasi tersebut “seolah-olah menunjukkan mereka sedang diusir”.

Sebanyak 130 warga Palestin kemudian diterima oleh badan kemanusiaan tempatan, Gift of the Givers, manakala selebihnya meneruskan perjalanan ke negara lain.

Dua penumpang mendakwa mereka membayar AS$2,000 (kira-kira RM9,400) setiap seorang untuk perjalanan yang dikatakan diatur Al-Majd Europe. Mereka dibawa keluar melalui Lintasan Kerem Shalom sebelum menaiki pesawat dari sebuah lapangan terbang Israel.

Namun siasatan NBC News mendapati banyak kejanggalan mengenai Al-Majd—termasuk ketiadaan rekod syarikat sejak 2010 seperti didakwanya, laman web baharu, gambar AI, serta pautan kepada Talent Globus, syarikat Estonia yang hanya ditubuhkan pada 2024.

Talent Globus menafikan sebarang kaitan dengan Mossad dan berkata ia diasaskan oleh pelarian, termasuk dari Gaza, namun tidak menyentuh secara langsung isu penerbangan ke Afrika Selatan.

Kedutaan Palestin di Afrika Selatan memaklumkan pihaknya memantau keadaan itu, manakala Kementerian Luar Negeri Palestin memberi amaran bahawa mana-mana syarikat yang memikat atau menghasut warga Palestin meninggalkan Gaza boleh berdepan tindakan undang-undang. Warga Palestin turut diingatkan berwaspada terhadap risiko perdagangan manusia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img