JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar di Kampung Keruak di Hulu Besut dekat Jertih, semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, gajah jantan itu ditangkap pada jam 3 petang di sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu selepas ditembak ubat pelali kira-kira lima jam sebelum itu.
Menurut beliau, haiwan yang dianggarkan berusia 10 tahun dengan ukur lilit kaki 35.5 sentimeter itu berada dalam keadaan sihat ketika ditangkap kira-kira 100 meter dari lokasi ia ditembak.
“Seramai enam anggota Perhilitan ke lokasi selepas mendapat aduan kehadiran gajah itu yang sering mengganggu pekerja ladang sejak minggu lepas selain merosakkan tanaman,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Kean Seong memberitahu, haiwan mamalia itu akan dipindahkan ke habitat asal dalam masa terdekat.


