
HASIL Sesi Sembang-sembang Santai Majlis Perundingan Melayu (MPM) 2025 pada 20 Ogos lalu, lima Pasukan Petugas Khas (PPK) ditubuhkan (kemudiannya ditambah satu lagi berkaitan Tanah Simpanan Melayu). Hasratnya ialah untuk menggerakkan satu inisiatif dijenamakan sebagai Langkah Melayu.
Tan Sri Dr Rais Yatim menawarkan diri mengetuai PPK mengenai Celik Perlembagaan. Tegas beliau, jika orang Melayu tidak celik Perlembagaan Persekutuan, mereka ibarat berjuang meraba dalam gelap.
Selang sebulan kemudian, beliau menghasilkan kupasan mendalam mengenai Perkara 153, sekalipun ada satu lagi PPK mengenai Ekonomi & Perkara 153.
Ini kerana beliau merasakan, jika orang Melayu masih tak tahu apa yang terkandung dalam Perkara 153 ini, tak usahlah nak terjerit minta itu dan ini, walhal perkara ini jelas memperuntukkan apa yang hak kepada orang Melayu dan apa tanggungjawab sah setiap institusi yang sepatutnya menjaga hak dan kepentingan orang Melayu, terutama institusi Raja-raja Melayu.
Mahu atau tidak, orang Melayu mesti mendesak institusi ini bertindak, apatah lagi dalam keadaan sekarang bila institusi politik sudah caca marba dan institusi eksekutif semakin ‘liberal’ pemikirannya.
Hatta apabila, pada malam 29 Oktober llu, Sekretariat Orang Melayu berkunjung ke Wisma MPM dan mempelawa MPM untuk turut terlibat menjayakan Konvensyen Perkara 153 & Penghayatan Wasiat Raja-Raja Melayu, ia sudah boleh dianggap siap siaga melaksanakan amanah itu.
Dengan tambahan dua lagi PPK, menjadikan kesemuanya lapan PPK, Urusetia Konvensyen (Pengisian) yang dikendalikan MPM, berjaya menghasilkan 57 resolusi untuk diangkat ke Konvensyen yang diadakan pada Sabtu lalu, di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Kompleks MOTAC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Dari sekian banyak usul, Urusetia memfokus kepada 10 yang utama.
Dari 10 Usul Utama itu, MPM menghasilkan Deklarasi Konvensyen. Deklarasi tiu dilafazkan oleh sepasukan pemimpin pelajar UiTM. Mereka dipilih atas rasional ini: Mereka adalah pelajar UiTM, IPT yang dibangunkan atas peruntukan Perkara 153;
Mereka adalah pemimpin pelajar sebuah IPT paling besar di negara ini, malah di rantau ini; dan mereka adalah pewaris kepada tuntutan ini.
Deklarasi yang mereka lafazkan adalah manifestasi tuntutan bagi memastikan mereka memiliki ‘keris’ baru untuk meneruskan kegemilangan orang Melayu. Deklarasi itulah ‘keris’ yang generasi semasa bekalkan untuk mereka.
‘Keris’ itu adalah senjata, untuk mereka gunakan bersama kepintarannya, mengembalikan kegemilangan orang Melayu sehebat nenek moyang kita dulu.
Buat masa ini, tanggungjawab generasi kita ialah membuat semua tuntutan yang sepatutnya, untuk menjamin kebangkitan generasi mereka dan seterusnya.
Tuntutan Pertama:
Pertama, hendaklah disegerakan penyerahan Memorandum Rakyat Kepada Raja, bagi mempersembahkan banyak perkara terkandung dalam Perkara 153 terutamanya, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku sekalian wajib mengambil tindakan. Ia bukan budi bicara. Ia adalah tanggungjawab.
Kedua, DYMM Tuanku sekalian sedia maklum, orang Melayu telah bermurah hati setuju berkongsi kerakyatan dan hak mengundi bersama lain-lain kaum, istilah yang Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin takrifkan sebagai ‘Merdeka deal – keep the bargain’.
Hatta, Perkara 153 adalah manifestasi persetujuan mereka untuk orang Melayu memiliki hak dan keistimewaan dalam banyak hal, secara turun temurun, selagi mereka memiliki hak kerakyatan dan hak mengundi, juga secara turun temurun.
Ketiga, DYMM Tuanku bertanggungjawab memelihara hak dan kepentingan kami. Oleh yang demikian, institusi ini wajiblah sentiasa peka menegur mana-mana pihak yang cuba mencuit perkara ini dan mempersoalkan hak-hak orang Melayu, seraya menuntut kebersamaan hak dengan orang Melayu.
Tuntutan kedua:
Pertama, hendaklah disegerakan penyerahan Memorandum Rakyat Kepada kerajaan, bagi menuntut kerajaan segera melaksanakan apa juga tuntutan yang disenaraikan dalam 57 usul itu.
Tuntutan yang wajib segera kerajaan lakukan ialah penubuhan Kementerian Hal Ehwal Bumiputera di Jabatan Perdana Menteri.
Kedua, sebaik saja kementerian ini ditubuhkan ia hendaklah segera memperhalusi setiap 57 usul itu dan mengambil semua tindakan yang dituntut.
Ketiga, untuk menjayakan misi dan agenda ini kerajaan hendaklah memilih pegawai yang sesuai dan benar-benar berjiwa Melayu, bagi menggalas tugas menjayakan agenda ini di semua kementerian dan agensi, termasuk GLC dan lain-lain badan korporat dikuasai oleh kerajaan.
Tuntutan ketiga:
Pertama, konvensyen ini menuntut setiap orang Melayu bangkit menjaga maruah dan harga diri, serta mengenali diri sendiri sebagai orang Melayu seperti mana Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Bila orang Melayu kenal diri sendiri dengan lebih mendalam, hendaklah segera menebalkan budaya swatadbirurus diri, dan kurangkan kebergantungan kepada pemimpin semata-mata. Nah kini, bila pemimpin Melayu hilang arah dan bercakaran sesama mereka, kita orang Melayu pun sama jadi begitu.
Kedua, andai kata ada dalam kalangan saudara mara kita dalam pelbagai institusi eksekutif dilihat semakin ‘liberal’ malah ‘buta warna’, kita wajib berani menegur mereka.
Ketiga, setiap orang Melayu dari sekarang mesti menanam tekad untuk benar-benar celik Perlembagaan, jika mahu bersuara menuntut hak-haknya.
Bangkitlah wahai orang Melayu, nenek moyang kita dulu sungguh hebat dan perkasa. Mengapa tidak kita! Darah mereka itu masih tebal mengalir dalam sanubari kita.
*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).


