Perselisihan faham, tuntutan pemulangan wang pertunangan dipercayai motif wanita dibunuh, dikerat

POLIS percaya motif perselisihan faham berkaitan hubungan peribadi serta tuntutan pemulangan wang pertunangan menjadi punca seorang wanita dibunuh sebelum anggota badannya dikerat dan dibuang di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar di Kota Kinabalu semalam.

Motif pembunuhan tersebut diakui sendiri oleh suspek utama, seorang lelaki berusia 71 tahun yang ditahan polis malam tadi, hari yang sama mayat mangsa ditemukan, tidak sampai 24 jam kes berkenaan dilaporkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, polis setakat ini telah menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, pada jam 4.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah menjalankan operasi di kawasan Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.

“Susulan itu, pada jam 8.10 malam tadi, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama D7 dan D9 telah menahan seorang lelaki berusia 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan.

“Seterusnya pada jam 10.30 malam, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Lot berkata, turut dirampas dalam tangkapan tersebut adalah beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menyatakan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi dan tuntutan wang pertunangan.

“Hubungan suspek dan mangsa dipercayai sebagai tunang. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img