Perumahan tentera mesti selamat,layak didiami… cabaran untuk Malek Razak

SALAH satu tonggak yang digariskan oleh Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dalam Perintah Ulung sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-24 baru-baru ini bagi mencapai misi melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam pasukan itu ialah ‘Cakna anggota, keluarga dan veteran ATM, berpisah tiada’.

Ia merupakan tonggak kelima daripada tujuh tonggak yang beliau ketengahkan ketika menyampaikan perintah ulung tersebut di Kem Sungai Besi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui tonggak itu, Malek Razak menegaskan, pemerintah bertanggungjawab memantau kebajikan warga di bawah pemerintahan, kemudahan Tabung Pinjaman Akademik dan Pengajian Tinggi Angkatan Tentera (TAPAT) serta Skim Pinjaman Akademik Anak Angkatan Tentera (SPAAT) dimanfaatkan sepenuhnya dan peranan BAKAT diperkasakan sebagai pemangkin kesejahteraan keluarga.

Turut digariskan oleh beliau perumahan dan prasarana di kem tentera mesti berada pada tahap selamat dan layak didiami serta kerjasama Persatuan Veteran hendaklah dipertingkatkan supaya tiada yang terpinggir.

Sememangnya kebajikan merupakan salah satu elemen penting bagi mengukuhkan semangat perjuangan pegawai dan anggota ATM. Kalau perkara itu terabai sudah pasti ia akan menjejaskan moral mereka. Bagaimana kita boleh mengharapkan mereka bekerja atau berjuang bersungguh-sungguh kalau dalam kepala dibelenggu dengan ‘pelbagai isu’.

Sama ada hendak diakui atau tidak, ketika ini terdapat banyak isu yang melumuri soal kebajikan pegawai dan anggota tentera. Antara yang paling ketara penulis mendengar banyak cerita bahawa banyak kediaman tentera berada dalam keadaan uzur khusus tentera darat. Sejauh mana serius masalah itu penulis tidak boleh sahkan.

Tetapi kalau benarlah ia berlaku maka apa yang digariskan oleh Malek Razak berkaitan  ‘’perumahan dan prasarana di kem tentera mesti berada pada tahap yang selamat dan layak didiami’’ adalah tepat!

Kebetulan hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminana bahawa kerajaan terus memberikan fokus kepada usaha menambah baik kuarters tentera dan polis yang uzur demi keselesaan anggota pasukan keselamatan itu.

Beliau berkata, dalam perancangan sedang dibincangkan sekarang, terdapat beberapa pembaikan kuarters telah diambil tindakan.

“Perumahan polis kita dah ambil tindakan sepertinya (demikian juga) tentera, jadi kita akan lebih fokus. Tahun-tahun lepas RM1 bilion telah diberikan kepada kuarters tentera dan polis untuk baik pulih rumah yang sangat uzur,” kata Anwar.

Sememangnya hasrat Perdana Menteri amat murni manakala keprihatinan Malek Razak amat jelas. Oleh itu Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM perlu merealisasikan niat baik tersebut demi keselesaan pegawai dan anggota tentera.

Mereka tidak boleh dibiarkan duduk di kuanters yang uzur,keluarga mereka tidak harus dibiarkan menjalani kehidupan di kuanters yang usang dan terdapat seribu satu masalah. Atas sebab itulah MINDEF dan ATM perlu memastikan projek penambahbaikan kuanters ini dijalankan secara telus tanpa ada mainan mana-mana kartel atau ‘tikus kartel’ (kalau ada).

Sememangnya tidak elok apabila ada pihak yang mengaitkan kualiti kuanters tentera ada kaitan dengan ‘mainan’kelompok tersebut. Sama ada ia benar atau tidak, ATM perlu siasat.

Jika benar berlaku tindakan tegas perlu dilakukan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa  ke muka pengadilan, tidak kiralah mereka masih berkhidmat atau ‘menjadi kartel’ selepas bersara.

Malek Razak perlu beri tumpuan lebih kepada kuanters atau kediaman untuk anggota tentera darat. Khabarnya keadaan sesetengah kuanters mereka jauh lebih teruk berbanding kuanters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Cerita-cerita lif tidak diselenggara,saluran kumbah bocor hingga masuk ke dalam rumah, keadaan lif teruk, masalah sampah, tempat kereta tidak cukup, pembinaan dilakukan tanpa mengira penambahan ahli keluarga hingga ada dua rumah ‘disatukan’ dengan memecah dinding perlu disiasat dan diselesaikan.

Justeru diharapkan masalah perumahan dan kediaman itu mampu diselesaikan sepertimana dinyatakan oleh Perdana Menteri serta ditekadkan oleh Malek Razak. Adalah tidak adil kepada anggota yang terlibat jika mereka hanya diminta memberi khidmat terbaik kepada pasukan dan negara tetapi kediaman mereka tidaklah sebaik mana.

Penulis percaya sebagai seorang panglima yang menitikberatkan soal kebajikan anggota-anggotanya, Malek Razak pasti tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah tersebut supaya impian beliau  iaitu‘’ perumahan dan prasarana di kem tentera mesti berada pada tahap yang selamat dan layak didiami’’…tercapai!

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img