SEBUAH pesawat Antonov An-22 milik Tentera Udara dan Angkasa Rusia, iaitu pesawat pengangkut berenjin turboprop terbesar di dunia, terhempas semasa penerbangan ujian selepas penyelenggaraan.
Rakaman tragedi itu kini tular di media sosial, dengan para penganalisis mengecam keadaan menyedihkan penerbangan ketenteraan Rusia.
Kemalangan tersebut berlaku di wilayah Ivanovo, Rusia, berhampiran Takungan Uvodskoye, pada 9 Disember lalu manakala rakaman insiden itu diterbitkan oleh saluran Telegram Rusia Mash pada 14 Disember, memaparkan detik-detik terakhir sebelum pesawat itu terhempas, mengorbankan kesemua tujuh anak kapal di dalamnya.
An-22 itu ‘pecah’ di udara sebelum terhempas ke dalam Takungan Uvodskoye. Rakaman video dengan jelas menunjukkan badan pesawat terbelah kepada dua bahagian utama, dengan bahagian ekor tercabut ketika pesawat menjunam dalam putaran tidak terkawal.
Kegagalan struktur yang jelas kelihatan semasa terjunan curam itu amat kuat menunjukkan berlakunya pecahan besar di udara, sekali gus hampir menafikan sebarang peluang untuk pemulihan atau penyelamatan.
Menurut beberapa pemerhati, sebahagian anak kapal cuba melarikan diri daripada nahas tersebut namun gagal.
“Berkemungkinan sekurang-kurangnya dua anak kapal Rusia (load master) cuba terjun menggunakan payung terjun. Kedua-duanya dipercayai mengalami kegagalan. Di sebelah kanan, seorang terjerat sepenuhnya dengan payung terjunnya (dikenali sebagai ‘horseshoe malfunction’) – satu kegagalan yang tidak boleh dipulihkan.
‘’Manakala seorang lagi di sebelah kiri dipercayai mengalami ‘line over malfunction’, di mana beberapa tali payung terjun tersangkut di atas kanopi,” tulis Chuck Pfarrer, bekas anggota SEAL dan wartawan Kyiv Post, di platform X.
Antonov An-22 “Antei” ialah pesawat pengangkut tentera berat reka bentuk Soviet, terkenal sebagai pesawat turboprop terbesar pernah dibina. Ia mula berkhidmat pada 1967 sebagai pesawat pengangkutan strategik dan taktikal.
Pesawat ini direka untuk membawa muatan yang sangat berat dan besar yang tidak mampu dibawa oleh pesawat lain pada zamannya. Ia juga boleh beroperasi dari landasan pendek, kasar atau tidak berturap, termasuk tanah dan rumput.
Keupayaan ini menjadikan An-22 sebuah pesawat yang sangat istimewa pada era tersebut. Namun begitu, ia kemudiannya digantikan secara berperingkat oleh pesawat berenjin jet seperti Il-76 dan An-124.
Laporan menyatakan bahawa An-22 yang terhempas itu merupakan pesawat terakhir yang masih beroperasi daripada jenis tersebut. Laporan tidak disahkan pada Ogos 2024 mendakwa Rusia telah menghentikan operasi keseluruhan armada An-22.
Pesawat terakhir itu, bernombor pendaftaran RF-09309, dilaporkan telah diterbangkan pada 16 Ogos 2024 dari pangkalan asalnya di Migalovo, wilayah Tver, ke Yekaterinburg di Daerah Persekutuan Ural.
Pesawat tersebut dijangka dipamerkan secara kekal di Muzium Ketenteraan Verkhnyaya Pyshma, namun ia tidak pernah tiba di destinasi tersebut.
Sebahagian pemerhati membuat andaian bahawa Rusia mungkin memutuskan untuk mengaktifkan semula An-22 walaupun ia telah ‘dipencenkan’, bagi mengisi kekosongan akibat kehilangan beberapa pesawat Il-76 dalam konflik yang sedang berterusan. Mereka menambah bahawa insiden ini menjadi peringatan suram terhadap kelemahan keupayaan pengangkutan udara Rusia.
Walaupun pihak berkuasa Rusia masih menjalankan siasatan untuk menentukan punca sebenar nahas, sumber yang dipetik oleh media Rusia dan portal penerbangan mengaitkannya dengan “kerosakan teknikal.”
Malah, laporan awal daripada saluran Telegram Mash mencadangkan bahawa kegagalan aktuator kawalan berkemungkinan berpunca daripada penyelenggaraan yang lemah.
Sesetengah pakar berpendapat nahas itu mungkin disebabkan oleh keletihan logam jangka panjang pada rangka pesawat era Soviet yang sudah uzur, diperburukkan lagi oleh kesukaran mendapatkan alat ganti daripada biro Antonov di Ukraine akibat perang yang sedang berlangsung.
Sementara itu, pihak lain mengandaikan bahawa kerja penyelenggaraan atau pembaikan terbaru mungkin telah menyumbang kepada kegagalan struktur pesawat.
Perlu diingatkan bahawa walaupun perpecahan pesawat di udara ini menimbulkan persoalan besar terhadap keadaan penerbangan ketenteraan Rusia, ini bukan kali pertama pesawat lama terbelah dua akibat kegagalan struktur.


