HARGA petrol RON95 tanpa subsidi meningkat 5 sen seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 10 sen seliter mulai esok hingga 22 Julai.
Peningkatan ini menjadikan harga RON95 tanpa subsidi RM3.42 seliter, berbanding RM3.37 sebelum ini, manakala diesel akan dijual pada harga RM4.07 seliter, daripada RM3.97 seliter.
Sementara itu, harga runcit RON97, RON95 bawah BUDI95 dan diesel bawah BUDI Diesel kekal.
Dalam kenyataan, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran serta kebimbangan berhubung keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran.
“Harga minyak mentah Brent telah mencecah USD85 setong, meningkat sekitar 20% dalam tempoh dua minggu. Selagi konflik ini belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu oleh ketidaktentuan pasaran global,’’ kata MoF.






