Pink October Tea Party perkasa golongan kanser payudara

PENGANJURAN Pink October Tea Party oleh Pantai Hospital Ampang, sekali lagi menyerlahkan komitmen hospital itu dalam memperkasa wanita, meningkatkan kefahaman awam serta memperkukuh sokongan komuniti dalam memerangi kanser payudara.

Acara tahunan yang penuh warna dan emosi itu menghimpunkan para peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk meraikan harapan, kekuatan dan solidariti sepanjang bulan kesedaran tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ampang, Chong Soon Mei menekankan bahawa perjuangan menentang kanser payudara memerlukan tindakan kolektif yang menyeluruh.

“Kesedaran sahaja tidak mencukupi, ia juga tentang tindakan, belas kasihan dan komuniti,” kata Soon Mei.

Beliau juga mengingatkan bahawa penjagaan kesihatan perlu menjadi prioriti setiap wanita melalui pemeriksaan berkala serta sokongan antara satu sama lain.

“Sudah tiba masanya untuk kita menjaga diri melalui pemeriksaan berkala, saling menyokong antara satu sama lain serta memberi kembali melalui amalan kebaikan dan kemurahan hati,” ujarnya lagi.

Selain itu, Soon Mei turut menegaskan pentingnya pengesanan awal terhadap kanser payudara kerana ia benar-benar menyelamatkan nyawa.

Salah satu segmen paling menyentuh hati ialah sesi ‘Tea Talk: Beyond Awareness – Stories, Strength & Support’ yang dikendalikan oleh penyanyi dan pengacara, Atilia Haron.

Sesi itu menampilkan perkongsian mendalam daripada Pakar Bedah Am Pantai Hospital Ampang, Dr Jolynn Low; penyanyi merangkap bekas pesakit kanser payudara, Salamiah Hassan; wakil Pink Challengers Dragon Boat Club, Roslilawati Samsudin dan Molly Ang Foon Fang serta wakil XIXILI, Tan Lay Hong.

Para panelis berkongsi pengalaman peribadi masing-masing mengenai perjuangan melawan kanser, ketabahan menghadapi rawatan dan kebergantungan kepada sokongan komuniti.

Setiap perkongsian menggambarkan bahawa kekuatan emosi dan sokongan moral memainkan peranan penting dalam pemulihan pesakit.

Acara turut diserikan dengan kempen derma rambut melalui simbolik potongan pertama oleh Ketua Bahagian Kecemerlangan Perkhidmatan IHH Healthcare Malaysia, Christina Barlet.

Christina tampil berani menyumbangkan rambutnya sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada mereka yang sedang melalui rawatan sekali gus memberi inspirasi kepada tetamu lain untuk melakukan kebaikan yang sama.

Selain sesi perkongsian dan kempen kesedaran, para tetamu menikmati pelbagai aktiviti berfokuskan kesejahteraan termasuk sesi rawatan dan relaksasi, ceramah pendidikan Pemeriksaan Sendiri Payudara (BSE) serta bengkel minyak pati.

Aktiviti-aktiviti itu dianjurkan bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan holistik dalam kalangan peserta.

Pantai Hospital Ampang turut menzahirkan penghargaan kepada rakan kerjasama seperti Pink Challengers Dragon Boat Club, LPPKN, XIXILI, Mary Kay, Bam & Co, Lock of Hope dan Sassoon Hair & Make Up atas sokongan mereka menjayakan program tersebut.

Sebelum majlis berakhir, Soon Mei mengajak masyarakat untuk terus menyemarakkan amalan pencegahan dan kesedaran kanser payudara sepanjang tahun.

“Marilah kita jadikan hari ini sebagai peringatan untuk menjaga kesihatan, menyokong antara satu sama lain dan menyebarkan kesedaran bukan hanya pada bulan ini tetapi setiap hari.

“Bersama-sama, kita mampu membawa perubahan. Bersama-sama, inilah masa untuk warna merah jambu. Inilah masa untuk peduli,” tuturnya penuh makna.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img