SEORANG bayi lelaki berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Plaza Tol Bukit Kajang, Kajang, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah Honda City dan Proton X70.
Katanya, panggilan kecemasan diterima kira-kira jam 11 pagi.
“Seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi bergegas ke lokasi kejadian dab tiba kira-kira 11 minit kemudian.
“Seorang bayi lelaki ditemui tersepit di bawah kereta Nissan X-Trail dan berjaya dikeluarkan pada jam 11.30 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, seorang lelaki dewasa turut tersepit di bawah kenderaan sama berjaya dikeluarkan 10 minit lebih awal dan dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Tujuh lagi mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan KKM sebelum pihak bomba tiba,” katanya.


