PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperincikan perkembangan berkaitan semakan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dalam lawatan beliau ke Sabah esok.
Anwar berkata, penjelasan lanjut mengenai perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu akan diumumkan semasa kunjungannya ke negeri berkenaan.
“Itu (perihal semakan berkaitan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak) saya akan jelaskan di Sabah esok. Saya ke Sabah,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Persekutuan komited memperbetul pendirian rasmi pentadbiran terdahulu termasuk melaksanakan semakan berkaitan hak 40 peratus pemberian khas Sabah.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, komitmen itu selari dengan pendirian Anwar yang mengiktiraf hak Sabah terhadap pemberian khas seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pengiktirafan itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memperbetul pendirian rasmi memandangkan pentadbiran terdahulu tidak membuat semakan terhadap hak berkenaan.
Katanya, walaupun kes berkaitan tuntutan 40 peratus itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap menegaskan supaya semakan terkini kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan tahun ini.


