DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan serta keputusan berkaitan pelaburan termasuk yang dibuat Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), sebaliknya ia ditentukan panel pelaburan profesional dilantik.
Menurut Perdana Menteri, setiap keputusan pelaburan dibuat oleh agensi terbabit diteliti melalui projek ‘due diligence‘ atau usaha wajar, selain kajian terperinci oleh panel pelaburan yang mewakili kepentingan kerajaan dan swasta.
“(Panel ini) terdiri daripada golongan profesional terpilih. Selalunya keputusan itu dibuat dan dibentangkan kepada lembaga dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan (MoF).
“Keseluruhannya itu (panel dilantik dan lembaga) dari latar belakang profesional. Kalau dalam lembaga, tentunya ada wakil daripada kementerian, itu biasa. Tapi kalau pandang pelaburan, itu ‘strictly‘ profesional.
“Sebab itu, sejak saya di MoF, laluan penuh, tidak ada campur tangan kerajaan, atau pun tidak ada keperluan untuk membawa cadangan pelaburan untuk pertimbangan kerajaan atau Menteri Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda yang bertanyakan berkenaan isu kerugian dana pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery, Indonesia pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini, lapor BH.
Anwar berkata, setakat ini, kesemua mereka dipertanggungjawabkan untuk melindungi dan menambah nilai dana pasaran persaraan melalui strategi pelaburan.
“Mereka tentunya mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dan menjamin pulangan yang adil,” katanya sambil menambah oleh kerana pelaburan KWAP menyentuh kepentingan awam, tentunya kerajaan tidak boleh berselindung.
“Pelaburan (KWAP dalam eFishery) sekitar RM160 juta saya pilih untuk umumkan, kerana wang ini dana persaraan. RM160 juta itu dilabur dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, e-Fishery. Tetapi ternyata sekarang, ada penipuan terancang.
“Soalannya, mengapa tidak diteliti? jawabnya tentunya dari panel pelaburan, (sudah) diteliti. Kerana dana dilabur itu walaupun (jumlahnya) besar, tapi kecil ketimbang dilakukan syarikat antarabangsa terkenal lain yang (jumlahnya) lebih besar. Penipuan ini, penipuan sangat canggih,” katanya.
Anwar berkata, bukan saja dana pelaburan dari Eropah seperti Aqua Spark terjejas, malah ramai lagi termasuk 42X Fund dari Abu Dhabi, Temasek dari Singapura serta pengurus dana terkenal dunia, SoftBank.
“Itu semua pelaburan yang jauh lebih tinggi dari KWAP. Mereka semua terpedaya dan orang dipertanggungjawabkan itu sudah pun dipenjara. Tapi saya ingin sebut, apa kesannya kepada panel pelaburan dan juga KWAP. Kita harus menilai, melihat keseluruhannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, biarpun merekod kerugian RM160 juta dalam pelaburan di eFishery, keuntungan bersih diraih KWAP masih memberangsangkan iaitu berjumlah RM12.9 bilion.
“Iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus. Jadi, kalau pun kita mohon supaya mereka (yang mengkritik) lebih waspada, kita harus lihat keseluruhannya (pencapaian pelaburan KWAP) dan kaedah tindakannya. Apakah KWAP ini hanya melabur di syarikat asing? tidak benar.
“Kerana itu ‘startup‘ Indonesia. Tapi ‘startup‘ di Malaysia yang dilabur juga tinggi. Selain projek yang kita jana melalui usaha MoF, iaitu GEAR-uP, juga melibatkan KWAP, membabitkan RM30 bilion dana termasuk kepada syarikat Bumiputera.
“Jadi, saya mohon semua melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan tahunan melebihi 8.5 peratus,” katanya.






