PM sedia teliti cadangan PRU-16 diadakan lebih awal

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan, cadangan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal boleh diteliti, namun keputusan mengenainya belum dibuat.

Menurut Perdana Menteri, sebarang keputusan berhubung pembubaran Parlimen akan dipertimbang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Itu cadangan saya boleh teliti, tetapi yang memutuskan itu saya akan fikir dulu, dan kemudian saya akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di Ampang hari ini, lapor FMT.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut mengambil pendirian bahawa PRU-16 wajar diadakan lebih awal sebelum menghampiri penghujung penggal Parlimen yang dijadualkan berakhir pada hujung tahun depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, lebih baik PRU-16 diadakan lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat, namun BN tetap bersedia jika penggal Parlimen diteruskan sehingga tamat tempohnya.

Penggal Parlimen ke-15 dijadual berakhir sekitar Disember 2027, dengan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan ekonomi terus berkembang, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meneruskan agenda membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Sekarang ini fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat dan fokus untuk membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah. Kerajaan masih stabil, kita tumpu yang ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan usaha membanteras rasuah akan diteruskan tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.

“Ini bukan soal kaum. Ini soal menyelamatkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” tegas beliau.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here