POLIS sedang mengesan dua remaja yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di Taman Melawati dan Ukay Perdana, Ampang, sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kedua-dua laporan diterima selepas ahli keluarga mendapati mangsa gagal pulang ke rumah dan usaha mengesan mereka tidak berhasil.
Menurut beliau, kes pertama membabitkan remaja lelaki berusia 14 tahun, N. Barath yang kali terakhir dilihat keluar dari rumah di Jalan Permata 9, Taman Permata, Hulu Kelang kira-kira jam 7 malam pada 5 Julai lalu untuk membawa anjing peliharaan keluarganya bersiar-siar.
“Sejam kemudian, remaja itu masih belum pulang ke rumah. Ahli keluarganya kemudian menemui anjing peliharaan tersebut diikat pada sebatang pokok di tepi jalan berhampiran rumah, namun mangsa gagal dikesan.
“Ketika keluar, mangsa memakai seluar jeans hitam dan baju-T berwarna biru. Mangsa berketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat 62 kilogram, berkulit gelap, berambut hitam dan tidak memakai cermin mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun lima bulan, Qaseh Atika Mohd. Naim Abdullah yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Jalan UP 3/7B, Ukay Perdana.
Menurutnya, bapa mangsa menyedari anak perempuannya tiada di rumah kira-kira jam 8 malam pada 5 Julai lalu sebelum dimaklumkan pihak sekolah bahawa remaja itu tidak hadir ke sekolah keesokan harinya.
“Siasatan awal mendapati tiada perselisihan faham berlaku dalam keluarga dan punca mangsa meninggalkan rumah masih belum diketahui.
“Mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berat 45 kilogram, berbadan kurus dan berkulit sawo matang,” katanya.
Khairul Anuar berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Barath diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Saiful Shahfuzi Mohd. Radzi di talian 019-3202055.
Bagi kes kehilangan Qaseh Atika pula, maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian yang sama atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd. Anuar di talian 017-3422804.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di bawah jagaan masing-masing serta segera menghubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya memerlukan bantuan.






