Polis rampas 3,586KG dadah MDMA bernilai lebih RM590 juta

POLIS berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menyerbu dua makmal haram memproses dadah jenis Ekstasi dalam tiga serbuan di sekitar Kepong membabitkan rampasan bernilai lebih RM590 juta pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi dilaksanakan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dijalankan hasil risikan dan pemantauan rapi di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, operasi bermula jam 8 hingga 11 pagi itu berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun.

“Setiap suspek mempunyai peranan masing-masing iaitu koordinator, ahli kimia, pembantu dan pengangkut.

“Tangkapan dibuat hasil serbuan di tiga lokasi berbeza termasuk dua di Taman Perindustrian Kepong dan sebuah kediaman di Dataran Templer, Selangor,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini, lapor BH Online.

Mohd Khalid berkata, serbuan pertama di Taman Perindustrian Kepong berjaya menahan tiga suspek dan merampas 136 tong serta satu bekas plastik berisi cecair Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) iaitu bahan untuk menghasilkan esktasi dengan berat 3,330 kilogram (kg).

“Turut dirampas 563 botol kaca bahan kimia seberat 1,200kg, 213.7kg serbuk kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Serbuan kedua di Kepong Industries Park pula menemui 25.3kg dadah MDMA, 231.15kg cecair MDMA, 947.35kg cecair bahan kimia serta 52.4kg serbuk bahan kimia selain peralatan makmal,” katanya.

Beliau berkata, serbuan ketiga di sebuah rumah di Dataran Templer berjaya menahan seorang suspek, namun tiada dadah ditemui.

“Antara yang disita lima kenderaan pelbagai jenama iaitu Toyota Vellfire; Toyota Unser; Toyota Caldina; Proton X70 dan Mazda 6, sebuah fork lift, wang tunai RM2,000, sebentuk cincin dan beberapa syiling emas,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek iaitu ahli kimia mempunyai rekod kesalahan dadah lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati hanya seorang suspek positif ketamin, manakala tiga yang lain negatif.

“Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 11 September lalu hingga hari ini dan akan disambung reman tujuh hari lagi untuk polis melengkapkan siasatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img