Polis Selangor lumpuhkan enam sindiket pengedaran dadah berskala besar

POLIS Selangor melumpuhkan enam sindiket pengedaran dadah berskala besar selepas merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM31.53 juta dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata 14 individu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta sembilan warga asing berumur antara 20 hingga 39 tahun itu ditahan menerusi tujuh siri operasi di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Segambut, Kajang dan Sepang antara 19 hingga 26 Ogos lepas.

“Dalam masa sama, polis merampas 135.4 kilogram (kg) bunga ganja, 2,325 peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 117.54 kg, 14 peket plastik berisi pil ekstasi seberat 4.94 kg dan 320 kerajang aluminium berisi pil Erimin 5 seberat 1.019 kg.

“Yang turut dirampas ialah 22 botol dan 118 katrij berisi cecair MDMA seberat 17.6 gram (g), sebungkus plastik berisi serbuk ketamin seberat 444 g serta lima mesin dipercayai alat membungkus dadah dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM31.53 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam hari ini.

Shazeli berkata pihaknya turut menyita lima kereta pelbagai jenis, iaitu Honda CR-V, Honda City, Nissan Teana, Mazda 6 dan Proton Saga, selain wang tunai berjumlah RM3,879, empat utas rantai berwarna keemasan dan sebuah beg tangan jenama Hermes dengan jumlah keseluruhan mencecah RM172,069.

Beliau berkata rampasan dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung 912,876 pengguna pada satu-satu masa berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 g bagi setiap individu.

Shazeli berkata hasil siasatan mendalam mendapati tiga daripada enam sindiket terlibat menjalankan aktiviti keldai dadah, manakala selebihnya terlibat dalam aktiviti pengedaran bahan terlarang berkenaan sejak enam bulan lepas.

“Berhubung modus operandi keldai dadah warga asing, suspek dipercayai menerima bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 atau dibayar mengikut mata wang negara asal bagi setiap tugasan yang berjaya diselesaikan.

“Tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan rangkaian pengedaran bernilai tinggi yang aktif serta terancang yang memberikan ancaman sangat serius kepada keselamatan masyarakat,” katanya.

Shazeli berkata, hasil semakan latar belakang terhadap kesemua suspek yang ditahan mendapati seorang mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala semakan dokumen perjalanan terhadap kesemua suspek warga asing mendapati lima daripada mereka telah tinggal lebih masa.

Beliau berkata 11 suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi suspek disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Penglibatan warga asing sebagai keldai dadah turut menjadi keutamaan PDRM untuk memperketat kawalan di semua pintu masuk utama negara seperti lapangan terbang.

“Orang awam serta masyarakat juga diingatkan agar tidak terperdaya menjadi keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya semata-mata disebabkan upah lumayan kerana tindakan tersebut mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here