POLIS Selangor menumpaskan aktiviti penyeludupan migran menerusi dua siri tangkapan berasingan di Sekinchan dan Sabak Bernam yang membawa kepada penahanan 41 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan pertama dilakukan pada Isnin lalu, kira-kira jam 2 pagi.
“Sepasukan anggota dari Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, Sekinchan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan dipercayai bertindak sebagai tekong darat atau pemandu bersama sembilan migran bukan warganegara berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam tangkapan pertama berusia antara 34 hingga 53 tahun dan dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan (laluan tikus).
Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza berwarna hitam, satu rangkai kunci kereta, dua telefon bimbit pelbagai jenama dan sekeping kad pengenalan.
Dalam operasi kedua, kira-kira jam 3.30 pagi tadi, polis menjalankan operasi bersepadu melibatkan JSJ Selangor, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19 serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam.
“Selepas melakukan intipan selama kira-kira enam jam, pasukan operasi menyerbu sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Semenanjung Bernam 2, Kampung Sekendi, Sabak Bernam.
“Hasil serbuan, polis menahan 32 migran bukan warganegara yang sedang bersembunyi di kawasan ladang berkenaan.
“Mereka terdiri 15 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki. Semua berusia lingkungan satu tahun hingga 52 tahun dan tiada barang kes dirampas dalam gerakan kedua ini,” katanya.
Beliau berkata, suspek tekong darat ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala warga asing pula mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri.
“Polis akan terus mempertingkatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.


