Polis serbu pusat panggilan `love scam’ sasar warga Jepun

POLIS menahan 13 warga asing termasuk dua wanita dipercayai terbabit kegiatan pusat panggilan yang mengendalikan penipuan ‘love scam’ menerusi serbuan di sebuah rumah di Semenyih, Kajang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan pada 5 November lalu itu, pihaknya turut merampas 11 unit telefon bimbit pelbagai jenis dan komputer riba.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyasarkan mangsa di Jepun menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan Line dengan mencipta akaun palsu beridentiti rekaan bagi memperdayakan mereka.

“Sindiket dipercayai sudah beroperasi kira-kira tiga bulan lalu dengan setiap ahli diarah membuat hantaran harian di media sosial untuk menunjukkan akaun mereka aktif dan tulen.

“Selepas berjaya menarik perhatian mangsa, ahli sindiket mula berkomunikasi bagi mendapatkan nombor telefon peribadi dan akaun media sosial mangsa.

“Setiap ahli mempunyai peranan tersendiri termasuk membuat hantaran, berkenalan, memperdayakan mangsa, manakala urusan kewangan dikendalikan ahli lain,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini, lapor Berita Harian.

Shazeli berkata, jumlah kerugian dan mangsa terbabit dalam kes ini masih dalam siasatan berikutan ia membabitkan mangsa di Jepun.

“Siasatan juga mendapati sindiket menggunakan platform aplikasi perbualan dalam talian sebagai medium komunikasi dalaman antara ahli-ahli sindiket,” katanya.

Kes ini katanya, disiasat di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img