SEORANG pemandu teksi di Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan kerana menggunakan kaedah ‘muntah palsu’ bagi memeras ugut 160 penumpang yang mabuk.
Memetik Independent, lelaki berusia 68 tahun itu sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara satu tahun atas kesalahan serupa.
Mahkamah Daerah Utara Seoul mendapati, dia bersalah atas tuduhan pemerasan, cubaan pemerasan dan tuduhan palsu.
Dokumen mahkamah menunjukkan dia memeras lebih daripada 150 juta won (kira‑kira RM 435,000) daripada penumpang yang tertidur dalam keretanya.
Kaedah itu terbongkar pada April lalu apabila pemandu terbabit didakwa cuba menipu seorang pegawai polis menyamar sebagai penumpang di kawasan Namyangju, Wilayah Gyeonggi.
Media melaporkan, pegawai polis itu merakam perbuatan berkenaan yang membawa kepada penahanan lelaki itu.
Menurut dokumen mahkamah, pemandu itu menyasarkan penumpang yang tertidur dalam teksinya.
Difahamkan, dia mencampurkan bubur nasi, soda dan kopi untuk meniru muntah dan menyapukannya pada dirinya sendiri, penumpang dan tempat duduk teksi.
Pemandu itu kemudian membangunkan mangsa, menuduh mereka merosakkan kenderaannya dan menuntut bayaran pembersihan yang besar.
Dalam beberapa kes, dia menaburkan serpihan kaca di lantai kereta untuk mendakwa penumpang menyerangnya, sambil memberi amaran denda sehingga 10 juta won (kira‑kira RM 29,000).
Sementara itu, menurut Persatuan Teksi Seoul, kadar pampasan standard bagi muntah dalam teksi adalah 150,000 won (kira‑kira RM 435) bagi menampung kos pembersihan dan waktu kerja pemandu yang hilang.



