POLIS giat menjalankan siasatan berhubung kes amang seksual membabitkan seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah Sekolah Rendah Agama di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut kira-kira pukul 4.16 petang.
“Setakat ini, suspek belum ditangkap dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Lazim berkata, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.


