POLIS telah menahan pereka grafik dan aktivis kontroversi, Fahmi Reza berhubung hantarannya dalam media sosial yang didakwa menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Peguam Rajsurian Pillai berkata, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah memanggil Fahmi untuk merakam keterangannya pagi ini bagi memberi keterangan di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Telefonnya dirampas. Kami cuba dapatkan jaminan untuknya,” katanya, lapor FMT.
Awal minggu ini, lebih 50 laporan polis dibuat terhadap Fahmi atas dakwaan menghina TMJ, termasuk daripada lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Laporan turut difailkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, pemimpin masyarakat, individu dan dua Exco kerajaan negeri Johor, Aznan Tamin serta Khairin-Nisa Ismail.
Fahmi sebelum ini dipanggil polis berhubung penggunaan pelekat tikus dengan perkataan “PM”, merujuk kepada Perdana Menteri ketika penstriman langsung di TikTok.


