POLIS sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran dalam media sosial berkaitan institusi Raja Berpelembagaan dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat ini sebanyak 98 laporan polis sudah diterima di seluruh negara.
Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.
“Kita sudah merakam keterangan beliau (Tony Pua) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Semalam, Tony diambil keterangan kira-kira 40 minit selepas menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 1.30 petang untuk mengatur rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tata Cara Jenayah.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan terhadap Tony susulan hantaran yang didakwa menyentuh isu sensitif.
Menerusi hantaran itu, Tony menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana Raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dan menghayati makna Rukun Negara.


