PRN Sabah: 596 calon bertanding…kajian awal Warisan mendahului…mampukah tumbangkan GRS,PH,BN,PN?

GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dibuka secara rasmi hari ini dengan menyaksikan seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding selepas proses selesai pukul 10 pagi hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesemua calon tersebut akan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 November ini.

“Tiada pencalonan yang ditolak. Bilangan pertandingan mengikut penjuru iaitu empat penjuru di dua DUN, lima penjuru (8), enam penjuru (13), tujuh penjuru (13), tujuh penjuru (10), lapan penjuru (8), sembilan penjuru (10), 10 penjuru (9), 11 penjuru (6), 12 penjuru (2), 13 penjuru (4) dan 14 penjuru (1).

“Calon melibatkan lelaki seramai 525 orang manakala wanita 71 orang. Calon yang bertanding berdasarkan julat umur iaitu berusia 20 hingga 29 tahun terdapat seramai lapan calon, calon berusia 30 hingga 39 tahun (59), calon berusia 40 hingga 49 tahun (146), calon berusia 50 hingga 59 tahun (178) dan calon berusia 60 ke atas (205).

“Umur calon berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS) iaitu berusia 86 tahun dan calon termuda di DUN Silam dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS) berusia 24 tahun,” katanya.

Persoalannya parti manakah yang akan mampu memerintah negeri di bayu tersebut. Berdasarkan kajian awal, setakat ini tidak ada mana-mana parti yang menguasai 37 kerusi – iaitu jumlah majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Persaingan tertumpu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.

GRS yang bekerjasama dengan PH mahu mempertahankan pemerintahan manakala BN tiada kerjasama dengan GRS tetapi bersama PH. Jika dilihat percaturan ini, sama ada GRS atau BN menang PH tetap mendapat untung. Malah tidak mustahil, GRS,BN dan PH bergabung menubuhkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun setakat ini, berdasarkan beberapa maklumat, Warisan dikatakan mendahului parti-parti lain antara 25 hingga 27 kerusi tetapi jika pengundi Cina beralih arah kepada PH, Warisan mungkin akan kehilangan tidak kurang 7 kerusi.

GRS dan BN pula pada masa ini dikatakan masing-masing berupaya menguasai antara 15 hingga 17 kerusi manakala PH 17 kerusi. PN pula setakat ini dikatakan berupaya menguasai antara 10 hingga 12 kerusi.

Bagaimanapun ini hanyalah jangkaan atau perkiraan awal. Angka-angka itu pasti berubah apabila kempen bermula dan berakhir pada 29 November ini – hari pengundian.

Namun apa yang pasti, senario kali ini berbeza dengan PRN dahulu. Dikhabarkan, sentimen Sabah untuk orang Sabah semakin kuat. Selain itu, pengundi di negeri tersebut juga dikatakan sudah bosan dengan ketidakstabilan politik yang berlaku setiap kali pilihan raya berakhir.

‘’Kali ini mereka mahu ada parti atau gabungan yang menang secara mutlak, maksudnya apabila pengundian berakhir, ada parti yang akan diisytiharkan cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan, bukannya sampai ke pagi berlaku ‘tawar menawar’, ‘beli membeli’,’’ kata satu sumber di Kota Kinabalu kepada penulis.

Sumber itu juga berkata, turut menjadi pertimbangan pengundi ialah calon yang bertanding tidak terlibat dengan apa-apa isu berkaitan dengan integriti.

‘’Rakyat bosan bila isu seumpama itu terus menghantui Sabah dulu lagi, jadi mereka harap PRN kali ini boleh dijadikan ‘platform’ untuk memilih pemimpin yang benar tidak ada masalah berkenaan,’’ kata sumber.

Apapun itu hanya pandangan awal, segalanya berkemungkinan sepanjang kempen berlangsung nanti. Selain itu adalah tidak ada adil untuk menghukum seseorang itu sebelum individu berkenaan benar-benar didapati bersalah mahkamah.

Perlu diingat, fitnah, tohmahan dan mewujudkan persepsi kerap kali menjadi senjata politik bagi menjatuhkan antara satu sama lain.

Oleh itu PRN kali ini pengundi-pengundi Sabah perlu meletakkan kepentingan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negeri di tempat tertinggi. Sama-sama kita tunggu apa akan berlaku sepanjang kempen yang bermula malam ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img