PRN Sabah: Antara kuasa siber dan sentuhan manusia

PILIHAN Raya Negeri (PRN)  Sabah kali ini terasa lain auranya. Tarikh penamaan calon sudah ditetapkan pada 15 November 2025, manakala pengundian awal bakal berlangsung 25 November. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November sebagai tarikh pengundian untuk pengundi di Sabah melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Sejak tarikh itu diumumkan, suasana politik negeri mula memanas, bukan kerana laungan di padang, tetapi kerana perang siber yang sudah pun bermula jauh lebih awal di media sosial. Di zaman ini, kempen politik tidak lagi sekadar berarak ke kampung membawa poster dan risalah.

Medan sebenar ialah skrin telefon. Di situ calon berjumpa rakyat, di situ juga mereka dinilai, dipuji dan dihukum. Ceramah di balai raya mungkin dihadiri seratus orang, tetapi video berdurasi 30 saat di media sosial boleh mencapai 100,000 tontonan dalam sehari. Kuasa kongsi hari ini mengatasi kekuatan mikrofon di pentas.

Namun, di sebalik kemeriahan dunia digital ini, muncul komplikasi besar. Politik kini berlangsung di dua dunia. Dunia nyata dan dunia maya. Tidak semua pemain pandai mengimbangi kedua-duanya.

Ada yang cemerlang di media sosial tetapi hambar di lapangan, ada juga yang hebat di padang rakyat tetapi sunyi di ruang digital. Dalam PRN Sabah, perbezaan ini menjadi ujian sebenar bagi calon yang mahu memenangi hati pengundi muda dan komuniti luar bandar serentak.

Realitinya, jumpa rakyat hari ini bermaksud dua perkara: turun padang dan muncul di paparan. Calon yang tidak muncul di mana-mana platform digital dianggap ketinggalan. Tetapi calon yang hanya hidup di media sosial tanpa menyentuh tanah sebenar juga dianggap palsu. Pengundi Sabah semakin bijak menilai kerana mereka mahu melihat kehadiran fizikal, namun juga ingin mendengar suara dan melihat tindakan di dunia maya.

Kekuatan cyber-troopers kini menjadi senjata utama dalam perang maklumat ini. Mereka tidak berpakaian rasmi parti, tetapi mereka hadir di setiap ruangan komen dan setiap hantaran berita politik. Mereka membina naratif, memanaskan emosi dan memanipulasi momentum isu.

Sekali hantaran berjaya menjadi tular, ia boleh menenggelamkan mesej kempen pihak lawan dalam sekelip mata. Ada calon yang menang bukan kerana janji, tetapi kerana naratif maya mereka dikawal dengan baik. Ada juga yang tumbang hanya kerana satu video lama muncul semula pada waktu yang salah.

Fenomena ini melahirkan dilema baharu. Siapa sebenarnya mengawal kempen? Calon di padang atau pasukan maya di belakang skrin? Banyak parti kini menggaji pasukan komunikasi digital yang beroperasi seperti bilik gerakan maya, lengkap dengan jadual siaran, strategi psikologi khalayak dan analisis data pengundi.

Sabah menjadi gelanggang uji kaji yang menarik kerana komposisi rakyatnya yang pelbagai budaya, agama dan bahasa memerlukan strategi mesej yang berbeza di setiap wilayah.

Tetapi dalam kegilaan mengejar tular, kebenaran sering jadi mangsa. Maklumat palsu, manipulasi gambar dan video suntingan menjadi senjata baharu untuk menjatuhkan lawan. Ramai pengundi tidak sempat menyemak kesahihan berita kerana terlalu pantas menekan butang kongsi. Bila fitnah sudah tersebar, penjelasan rasmi datang terlambat.

Kita percaya dan yakin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia untuk bekerja tanpa rehat yang cukup. Walaupun amaran telah diberi, bahawa pemantauan akan dipertingkat, namun hakikatnya kecepatan media sosial sukar ditandingi oleh proses rasmi. Satu naratif palsu yang sempat berakar boleh mengubah suasana pilihan raya dalam masa beberapa jam.

Sementara itu, di kampung-kampung dan kawasan pedalaman, masih ramai pengundi yang tidak terlibat dalam ribut digital ini. Mereka menilai calon berdasarkan kehadiran sebenar, siapa yang datang menjenguk, siapa yang mendengar masalah mereka. Di sinilah jurang komunikasi berlaku.

Politik digital terlalu sibuk mencipta `trending’, sedangkan politik rakyat masih menunggu sentuhan manusia. Jika jurang ini tidak didekati, demokrasi akan terbahagi kepada dua: antara pengundi yang hidup dalam dunia algoritma dan pengundi yang masih berpegang pada realiti.

Kempen alaf baharu juga menonjolkan muka-muka baharu yang bukan ahli parti tetapi menguasai ruang wacana: pempengaruh politik, penganalisis bebas dan pencipta kandungan. Mereka menjadi penentu naratif yang lebih berkesan daripada kenyataan media.

 Parti yang gagal berinteraksi dengan kelompok ini akan kehilangan kawalan terhadap persepsi. Justeru, kempen PRN Sabah kini lebih kompleks, bukan sekadar bertanding antara calon, tetapi bersaing antara ekosistem digital.

Apa yang sedang berlaku di Sabah bukan sekadar pertandingan kerusi, tetapi ujian kepada ketahanan komunikasi politik Malaysia. Ia menilai sejauh mana kita mampu mengekalkan integriti dalam era maklumat yang terlalu pantas dan terlalu mudah dimanipulasi.

Demokrasi tidak akan runtuh kerana kekalahan politik, tetapi kerana kegagalan kita mempertahankan kebenaran dalam ruang komunikasi awam.

Kemenangan sebenar dalam PRN Sabah bukan milik mereka yang paling lantang bersuara, tetapi milik mereka yang paling dipercayai. Dalam dunia yang dibanjiri suara siber, kejujuran dan empati tetap menjadi bahasa yang difahami rakyat.

Media sosial boleh menyalakan semangat, tetapi hanya keikhlasan yang mampu mengekalkannya. Di situlah letaknya masa depan politik komunikasi Malaysia, antara kuasa siber dan sentuhan manusia.

*Dr.Haji Ainol Amriz Ismail merupakan Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysian Press Institute (MPI).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img