POLIS Johor kini giat mengesan peniaga yang menjual mercun sehingga menyebabkan seorang lelaki terputus kaki kiri akibat letupan di Taman Damai Jaya, Bukit Siput di Segamat pada Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati mercun yang dibakar mangsa berusia 32 tahun itu adalah dalam kategori tidak diluluskan penjualannya.

“Berdasarkan siasatan awal, mercun itu dipercayai dibeli secara tidak sah, dibakar secara tidak sah dan juga dimiliki secara tidak sah pada masa kejadian.
“Justeru polis sedang mengenal pasti penjual mercun itu bagi membantu siasatan,” katanya ketika diminta mengulas kejadian berkenaan.
Beliau berkata, polis mengingatkan peniaga supaya memastikan aspek pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun serta bunga api mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api yang dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.
“Justeru, peniaga berlesen yang didapati menjual bahan yang tidak disenaraikan boleh dibatalkan lesen penjualan bahan berkenaan,” kata Ab Rahaman selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Lapor Diri Timbalan Ketua Polis Johor serta Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini, lapor Harian Metro.
Pada majlis itu, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor manakala Senior Asisten Komisioner Mohd Zairi Badderul@Badrol pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang baharu.
Ab Rahaman berkata, mangsa masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka dan keadaannya dilaporkan stabil.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa dipercayai sedang bermain bunga api jenis shoot cake 4(D) 16 shot (premium) di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina.
Melalui video yang tular di media sosial, bunga api terbabit diletakkan dalam keadaan menegak hanya beberapa kali mengeluarkan letupan sebelum tumbang.
Difahamkan, bunga api itu tumbang dan secara kebetulan menghala ke arah mangsa yang berada tidak jauh dari lokasi.
Akibat kejadian, mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan.


