Rafizi dakwa  kes Adam  contoh kes berprofil  tinggi boleh dilepaskan melalui bayar kompaun

AHLI  Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan pembebasan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sebagai satu lagi contoh bagaimana kes berprofil tinggi boleh dilepaskan hanya dengan membayar kompaun.

“Ini bisnes paling untung – dituduh dapat RM6.7 juta, pulangkan balik dengan membayar kompaun RM4.1 juta, ada lagi RM2.6 juta. Margin keuntungan 39 peratus tanpa perlu buat apa-apa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Adam  sebelum ini berdepan dengan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

“Dalam diam-diam, peguam Adam Radlan menulis surat representasi untuk membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta untuk dibebaskan dari tuduhan-tuduhan ini.

“Dalam diam-diam, pendakwaraya bersetuju dan pada mulanya ingin memberikan DNAA (lepas tanpa bebas), tetapi peguam Adam Radlan memohon supaya dibebaskan terus kerana telah membayar kompaun. Akhirnya bebaslah Adam Radlan,” katanya.

Rafizi seterusnya membandingkan layanan terhadap kes berprofil tinggi dengan rakyat biasa yang dihukum penjara atas kesalahan kecil.

“Kalau orang biasa curi susu, hukumannya penjara enam bulan. Kalau kaum kerabat orang VIP dituduh rasuah atau mencuri, asal bayar balik boleh lepas. Lepas ini, kalau ada rakyat biasa yang dituduh mencuri susu atau makanan biasa, mohon maklum kepada saya.

“Saya nak cari peguam untuk buat permohonan yang serupa untuk mengembalikan susu yang dicuri dan minta dibebaskan,” katanya sinis.

Beliau juga mendakwa terdapat trend terkini di mana kes rasuah besar diselesaikan dengan pembayaran balik.

“Begitulah al-kisah Malaysia. Dulu kita dengar anak tiri (bekas perdana menteri) Najib (Razak), sekarang ada laporan bahawa Adam Radlan ini sepupu kepada menantu Muhyiddin.,” katanya.

Rafizi turut membidas Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya lantang melaungkan isu Melayu terancam, tetapi diam apabila kes melibatkan kroni atau keluarga pemimpin sendiri.

“PN bising pasal Melayu terancam, bab sepupu-sepupu terlepas tuduhan rasuah diam, sudahlah ia berkaitan projek Jana Wibawa dan melibatkan kontraktor bukan Bumiputra.

“Madani bising pasal benteras rasuah tetapi perkara ini tetap berlaku di bawah Perdana Menteri yang terpaling anti-rasuah,” kata bekas menteri ekonomi itu sambil mengingatkan kerajaan supaya serius melaksanakan agenda membanteras rasuah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img