REJIM Zionis melakukan provokasi ke atas umat Islam yang tidak dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa apabila memberikan pesalah seks, Rabbi Eliezer Berland, melawat Tembok Al-Buraq di masjid itu semalam.
Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan Berland, diiringi oleh sekumpulan Hasidim (kumpulan penganut Yahudi Ortodoks) dibawa ke kawasan dataran solat oleh seorang pegawai polis semalam.
Tembok Al-Buraq telah dikenakan sekatan ketat sejak permulaan serangan Israel-AS ke atas Iran, namun satu pengecualian khas telah diberikan kepada Berland, seorang pesalah seks yang disabitkan.
Tembok Al-Buraq, yang dikenali dalam agama Yahudi sebagai Tembok Barat (Western Wall), merupakan bahagian barat masjid tersebut dan sebahagian daripada struktur luar kompleks itu.
Berland telah disabitkan dengan perbuatan tidak senonoh, serangan, pengubahan wang haram dan penipuan, serta pernah menjalani hukuman penjara, menurut laporan media Israel,Haaretz.
Pada tahun 2012, selepas dilaporkan bahawa Berland telah memaksa pengikut wanita untuk melakukan hubungan seksual dengannya, dia melarikan diri dari Israel sebelum akhirnya ditangkap di Belanda, dan kemudian dihantar pulang ke Israel. Beliau dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan.
Kumpulan Women of the Wall menyuarakan kemarahan terhadap keputusan membenarkan Berland melakukan ritual di situ, dengan menyifatkannya sebagai “penjenayah bersiri”.


